Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Selasa, 10 Mei 2011

Menghadapi ancaman Singapura

Artikel ni tahun 2000 dahulu. Maksudnya 11 tahun yang lalu. Sesiapa pernah membaca artikel ni dulu.

Menghadapi ancaman Singapura
(Dipetik dari Mingguan Malaysia 15/10/2000)

Kenyataan terbaru Kuan Yew bahawa sesiapa sahaja ‘dialu-alukan’ menyerang republik itu berikutan pembelian 100 peluru berpandu udara ke udara jarak sederhana AIM-120C dari Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, sekali lagi mengganggu hati nurani rakyat Malaysia.

Sebagai negara jiran terdekat, kenyataan sedemikian seolah-olah satu mesej bahawa Singapura dengan persiapan pertahanan yang terbesar mahu terus menjelma menjadi bayangan ‘Israel’ di rantau ini.

Persoalannya sejauh manakah kekuatan Singapura yang digembar-gemburkan itu?

“Jangan rasa takut, apatah lagi rendah diri dengan kekuatan persenjataan Singapura,” kata bekas Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Datuk Raja Abdul Rashid Raja Badiozaman dalam wawancara bersama wartawan Mingguan AZIZ ISHAK.

Walaupun telah bersara hampir lima tahun, Raja Rashid adalah antara tokoh yang disegani, berpengaruh dan selalu menjadi rujukan berhubung strategi ketenteraan apatah lagi dalam ‘berurusan’ dengan Singapura.

Singapore Armed Forces

Ikuti sedutan wawancara tersebut.

MINGGUAN: Kenyataan terbaru Kuan Yew sekali lagi menampakkan keangkuhan walaupun senjata yang dibeli itu tidaklah terlalu hebat dan Malaysia juga memiliki peluru berpandu jarak sederhana walaupun jenis yang berlainan (R-27 buatan Rusia).

RAJA RASHID: Pertama kita lihat jenis senjata yang dibeli. Peluru berpandu atau misil yang dimaksudkan itu ialah jenis air to air (udara ke udara), maknanya ia digunakan oleh pesawat pejuang untuk menentang pesawat pejuang musuh. Ia bukanlah sejenis peluru berpandu atau roket (Scud) seperti yang dilancarkan oleh Iraq ke atas Arab Saudi dalam Perang Teluk. Peluru berpandu kategori ini hanya berfungsi dan dilancarkan dari pesawat pejuang. Kalau tidak dibawa oleh pesawat pejuang, maknanya ia tidak boleh digunakan.

Ia bukanlah senjata yang Singapura sahaja boleh membeli dan memilikinya. Walhal negara kita juga mempunyai senjata yang setanding atau sekurang-kurang hampir setanding meskipun bukan sejenis.Peluru berpandu udara ke udara ini bukanlah bentuk serangan yang dilakukan secara clandestine iaitu tersembunyi atau rahsia.Senjata seperti ini hanya boleh digunakan dalam peperangan terbuka. Selagi tidak ada peperangan terbuka selagi itu ia tidak dapat dilaksanakan.Jadi kenyataan Kuan Yew mempelawa sesiapa menyerang Singapura dalam konteks Malaysia sebagai jiran terdekat, tidak harus kita khuatiri.Sebagai seorang yang arif dari segi politik antarabangsa dan serantau, Kuan Yew sepatutnya memahami perasaan dan sentimen negara jiran termasuk orang Melayu.Kenyataan yang boleh menyinggung perasaan tidak wajar dibuat oleh mana-mana jiran, bukan sahaja Singapura. Kalau mempunyai kekuatan dan kelebihan, orang tahu. Tidak perlu dihebah-hebahkan.Kalau seseorang itu bijak, dia akan mengambil kira semua aspek ini, kalau tidak hilanglah nilai kebijaksanaannya. Orang bijak tidak angkuh.

Apakah ada muslihat dan strategi di sebalik kenyataan sedemikian?

RAJA RASHID: Pada saya, tindakan Singapura menghebah-hebahkan dan mengeluarkan kenyataan agak provokatif termasuk dalam soal ketenteraan adalah bagi tujuan deterrence atau cegah rintang.Ia sebagai satu isyarat kepada bakal-bakal musuh bahawa mereka mempunyai kekuatan atau penambahan elemen kekuatan yang boleh menggerunkan musuh.Ia juga bagi tujuan domestik iaitu membina keyakinan dan rangsangan kepada rakyat bahawa kerajaan republik itu mampu melindungi mereka dalam apa sahaja keadaan. Keyakinan sedemikian adalah penting kepada sebuah negara kecil seperti Singapura. Ini selaras dengan pendekatan pre-emptive Singapura iaitu membina kemampuan untuk bertindak dan menyerang sebelum diserang oleh musuh.

Singapura mempunyai strategi pertahanan yang berasaskan kepada geografi dan demografi. Geografi, kerana Singapura tidak dapat berubah lokasi dan keluasan sebagai sebuah pulau kecil di tengah-tengah Malay World atau rumpun Melayu. Demografinya ialah kebanyakan penduduk adalah keturunan Cina. Lebih memburukkan keadaan pemimpin republik itu sejak dulu lagi meletakkan rasa syak wasangka yang keterlaluan terhadap Malaysia dan Indonesia.


SAF 3G Soldier

Apakah strategi pertahanan Singapura akan berubah selepas ketiadaan Kuan Yew?

RAJA RASHID: Sama ada Lee Kuan Yew ada atau tidak, strategi pertahanan negara itu akan tetap sama berasaskan geografi dan demografi.Kita bertanya mengapa Singapura mempunyai kapal selam dan meriam berat jenis 155mm yang boleh melancarkan tembakan hampir 40 kilometer. Pertahanan strateginya ialah forward defence. Maknanya, sebelum musuh sampai ke pulau itu, mereka telah dapat tangani di luar wilayahnya. Dulu semasa ancaman komunisme di utara semenanjung, mungkin ada asas Singapura mempunyai pertahanan darat yang kuat selain udara. Maknanya, mereka boleh bekerjasama dengan kita untuk membendung teori Domino (peluasan wilayah komunisme di Asia Tenggara selepas Vietnam). Walaupun tiada lagi ancaman Teori Domino, mereka mempunyai persiapan dan kebolehan tentera darat yang melebihi keperluan daratannya. Terang-terang menunjukkan bahawa Singapura mempunyai strategi forward defence. Siapa bakal ancaman mereka? Mungkin dari segi ancaman mereka sentiasa menganggap diri mereka itu terpencil dan mahu menjaga segala aset serta kekayaan. Itu asas setiap negara berdaulat.

Oleh kerana geografi dan demografi. Dari mula lagi, mereka telah mempunyai satu mentaliti fortress atau mentaliti bandar berkubu dengan konsep pertahanan yang dapat bertahan begitu lama. Mentaliti fortress adalah untuk menjaga keselamatan sama ada ancaman ada atau tidak ada. Sentiasa merasa terancam setiap masa, berjaga-jaga dan berwaspada. Ia timbul dari geografi dan demografi. Oleh itu, mereka sentiasa akan membina dan membentuk pertahanan sekuat mungkin apatah lagi mempunyai kekayaan untuk membeli segala kelengkapan dan senjata. Mereka bekerja keras dan bersatu untuk mencapai kekayaan negara bagi tujuan pertahanan sedemikian. (Singapura memperuntukkan RM24 bilion untuk pertahanan pada tahun 2000 manakala Malaysia sekitar RM6 bilion).

Pada pengamatan Datuk, sejauh mana keupayaan sebenar ketenteraan Singapura?

RAJA RASHID: Kita kena menilai dua aspek. Pertama ialah kekuatan senjata dan peralatan manakala aspek kedua ialah kebolehan anggota tentera untuk mengendalikan dan melancarkan peperangan.Daripada segi persenjataan, kita tidak boleh pertikaikan keupayaan Singapura. Bagaimanapun dari segi keanggotaan, mereka hadapi masalah dan tekanan.

Walaupun dalam peperangan moden atau era digital cuma perlu tekan butang untuk lancarkan senjata tetapi dalam peperangan sebenar keanggotaanlah yang mempengaruhi dan banyak menentukan kejayaan. Yang akan memenangi peperangan ialah anggota yang boleh menduduki atau menawan kawasan musuh dan bukannya senjata.Masalah Singapura, mereka hanya mampu melancarkan serangan tetapi agak sukar atau belum tentu mencapai kejayaan. Jangan lupa tindak balas pihak yang mereka serang dan adakah mereka mempunyai keupayaan untuk bertahan.

Persekitaran dan budaya kita berlainan berbanding Singapura. Singapura ialah satu ‘pulau bandar’. Rakyat mereka tidak mempunyai budaya lasak kerana persekitaran metropolitan dan kehidupan mewah. Sedangkan tentera Malaysia berasal dan sebati dalam persekitaran yang lasak mental dan fizikal dengan gunung, bukit, paya, sungai, hutan belantara, lintah, pacat dan sebagainya.

Latihan mungkin boleh banyak membantu melahirkan tentera yang lasak fizikal dan mental tetapi ia tidak sama dengan generasi yang muncul dari budaya dan persekitaran yang lasak.

Tengok cara orang Amerika Syarikat (AS) berperang dengan Vietnam. Kehebatan persenjataan dan kelengkapan tidak berkesan apabila datang pada keadaan sebenar. Ini disebabkan kelasakan mental dan fizikal berdasarkan budaya rakyat Vietnam. Walaupun mereka daif tetapi mampu mengatasi kehebatan doktrin dan persenjataan AS.Peralatan dan persenjataan bukanlah jawapan kepada kekuatan sebenar sesuatu angkatan tentera. Itu rumusan saya daripada segi peralatan dan keanggotaan. Kedua-dua itu mesti mempunyai simbiosis jika mahu mempunyai kekuatan terjamin. Kita ada simbiosis itu.

Ada bacaan dan andaian bahawa tentera Singapura dengan kelebihan persenjataan yang mereka ada khususnya dari segi kuasa udara mampu melumpuhkan Malaysia dalam tempoh 24 jam sahaja.


Multiple Launching Rocket System (MLRS) Astross Avibras II

RAJA RASHID: Malaysia sentiasa mengkaji kebolehan mereka, kita tidak rasa mempunyai kelemahan sehingga boleh digugat atau ditawan dengan mudah. Bacaan dan perkiraan mereka mungkin berbeza dengan bacaan kita.Kalau kita kaji strategi Singapura yang belajar dari Israel, pilihan terbaik ialah melancarkan serangan pre-emptive untuk memusnahkan semaksimum mungkin sehingga pihak lawan tidak berdaya bertindak balas.

Kalau mereka mampu melakukan serangan udara besar-besaran itu mungkin dalam tempoh berkenaan. Tetapi tidak mungkin mereka akan melumpuh atau memusnahkan kita, tidak mungkin. Antaranya kerana sumber dan aset ketenteraan kita berselerak dan kita mempunyai kelebihan dari segi geografi termasuk perairan untuk bertindak balas secara unik.Pergerakan segala sumber kekuatan kita boleh dilakukan dengan cepat, penuh muslihat dan berpanjangan.


FNSS Pars 8×8 ~ Aset terbaru yang bakal memasuki ATM

Maknanya kita mempunyai keupayaan tersendiri untuk bertahan dan bertindak balas?

RAJA RASHID: Keupayaan itu meliputi pelan tindakan khas untuk menghadapi ancaman termasuk jika ia datang dari Singapura.Salah satu ciri rancangan itu ialah untuk mempertahankan negara ini secara berlapis termasuk melumpuhkan sumber serangan itu sendiri.Sekiranya sesuatu musuh itu mahu melancarkan serangannya, mereka terpaksa melepasi sekurang-kurangnya tiga lapisan. Jika ia tidak mampu merempuh ketiga-tiga lapisan itu, ia tidak akan berjaya. Rancangan khas ini juga disesuaikan mengikut senario. Saya percaya sehingga hari inipun, ATM sedia untuk hadapi dan laksanakan rancangan sedemikian bila mendesak dan tiba masanya jika diancam.

Dari segi kekuatan nasional pula, kita mempunyai beberapa kelebihan. Kita juga tidak perlu berasa terancam dengan faktor-faktor lain termasuk geografi dan demografi. Geografi kita besar dan demografi kita berganda. Singapura mempunyai 3 juta penduduk sedangkan kita lebih 21 juta. Apapun, percayalah kita mempunyai strategi khas luar jangkaan yang hasilnya, tidak akan mengecewakan rakyat kita.

Apakah faktor lain yang mendorong Singapura khususnya Kuan Yew kerap mengeluarkan kenyataan provokatif dan menyinggung perasaan Malaysia. Mungkinkah kerana faktor menjadi sekutu kuat kepada Amerika Syarikat?

RAJA RASHID: Ini bukanlah pertama kali Kuan Yew membuat kenyataan yang menyinggung perasaan orang kita. Banyak kali, jadi kalau sudah selalu dilakukan, patut kita jangan susah hati.

Sama ada dia mempunyai rakan kuat seperti AS atau menganggap kita sebagai terjauh dari rakan kuat mereka sehingga memberi perangsang kepada mereka, tidak perlu kita ambil kira. Memang perangai dia macam itu. Tetapi jangan pula kerana dia menyatakan sesuatu yang menyebabkan kita tersinggung, kita berdiam. Kita tidak boleh diam. Kita mesti tetap bersuara dan bangkitkan hal itu. Soal mereka hendak terima atau tidak, soal lain. Mereka tidak boleh pandang rendah kita dan kita termasuk rakyat tidak boleh merasa rendah diri dalam semua hal apatah lagi pertahanan.

Apa lagi elemen kekuatan Malaysia yang boleh digembleng jika menerima ancaman daripada Singapura?

RAJA RASHID: Pertama kita mempunyai tentera yang berpengalaman luas, terlatih dan mempunyai tradisi daya juang tinggi, walaupun usia ATM agak muda.

ATM menerima pendedahan yang banyak di peringkat antarabangsa seperti operasi pengaman di Kongo, Namibia, Somalia, Kemboja dan Bosnia. Rekod daya juang kita juga mereka segan seperti menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua, konfrontasi dan menangani ancaman pengganas komunis. Askar Melayu sendiri bermandi darah mempertahankan Singapura suatu masa dulu.

Keberanian dan kemahiran itu diwarisi oleh generasi tentera yang baru. Berdasarkan pengamatan dan pengalaman melihat prestasi semasa latihan dengan negara-negara lain termasuk negara maju, kita mempunyai juruterbang pejuang yang cekap, kreatif dan berani. Kalau ada peluang air to air combat, mereka pasti cemerlang dan bertindak nekad serta bijak.

Begitu juga tentera laut. Dalam tentera darat pula tradisi keberanian itu terus dipertahankan termasuk di peringkat antarabangsa. Tentera kita dengan corak latihan dan persenjataan yang berbeza dengan AS, masih mampu membantu menyelamatkan tentera AS yang terkepung di Somalia. Jeneral AS sendiri menyatakan kekaguman mereka dengan keberanian tentera kita.

Jangan lupa faktor rakyat kita. Saya tidak ragu-ragu bahawa rakyat tanpa mengira perbezaan kaum atau berlainan politik akan bangkit dan bersatu mempertahankan tanah air ini. Pengalaman dan latar belakang perjuangan rakyat negara ini jangan diperkecilkan termasuk kemungkinan menghadapi tempoh peperangan yang panjang.

Pandura (Pandu Arah – Pathfinder) Komando PASKAU

Selain persenjataan apa lagi kelebihan Singapura?

RAJA RASHID: Kelebihan Singapura ialah dari segi sistem melaksanakan segala pembelian dan rancangan pembelian senjata dan peralatan.

Singapura tidak banyak menyatakan perancangan hadapan dari segi pembelian tetapi apabila mereka merancang sesuatu mereka akan melaksanakan secepat mungkin. Pada saya, itu satu kekuatan.

Singapura menyaksikan perkembangan pesat dalam semua aspek pertahanan sejak melaksanakan gagasan Total Defence.

RAJA RASHID: Singapura mempunyai dasar pertahanan yang baik. Konsep Total Defence, satu konsep menyeluruh dengan satu kordinasi yang merangkumi jabatan-jabatan kerajaan dan kumpulan swasta yang strategik. Contohnya ialah cara mereka menyediakan shelter atau tempat perlindungan perang untuk orang awam. Mereka gunakan terowong-terowong kereta api bawah tanah dan buat hospital kepunyaan kerajaan yang mempunyai kemudahan perlindungan. Ada jalan raya dibina selurus-lurus dan sebesar-besar serta landasan di tengah-tengah jalan itu boleh diubah untuk menjadi landing zone alternatif.Mereka sangat bergantung kepada kekuatan air power atau kuasa udara maka kemudahan dan pergerakan aset tentera udara cukup penting.Dengan kata lain, apa sahaja pembangunan yang ada dimasukkan elemen pertahanan.

Maknanya masyarakat Singapura mempunyai satu orientasi keselamatan yang baik berdasarkan pelbagai faktor termasuk mentaliti fortress dan rasa curiga terhadap negara jiran.Keadaan itu mudah dicorakkan kerana saiz masyarakatnya yang kecil dan sifat sebagai pulau bandar raya yang moden. Kita di Malaysia, sukar berbuat demikian kerana mempunyai geografi yang luas dan penduduk yang berselerak. Lagipun kita tidak pernah rasa terancam dengan negara jiran termasuk Singapura.


18-Skuadron F-18D Hornet Tentera Udara DiRaja Malaysia

11-Skuadron Sukhoi Su-30MKM Tentera Udara DiRaja Malaysia

Bagaimana dengan kemudahan dan aset tentera Singapura di beberapa negara bagi tujuan latihan, yang boleh digunakan untuk percaturan strategi bila terdesak?

RAJA RASHID: Itu terserah kepada bacaan strategi sesiapa sahaja.Saya percaya kita telah mengambil kira semua aspek dalam membuat penilaian terhadap kekuatan Singapura.Kita lebih suka mengandaikan bahawa aset-aset tersebut adalah untuk tujuan latihan kerana Singapura menghadapi masalah mengadakan latihan kerana saiznya yang kecil.Misalnya, tentera udara yang menjadi asas pertahanannya memerlukan latihan yang banyak dan kerap tetapi ruang angkasa mereka terhad. Jadi mereka terpaksa membuat latihan udara, tembakan meriam, kereta kebal dan infantri di luar negara seperti AS, Australia, Taiwan, Thailand, Indonesia dan Brunei.Bagi tujuan itu, di AS dan Australia misalnya ada pesawat pejuang Singapura.

Sejauh manakah kemungkinan tercetusnya perang antara kedua-dua negara.

PANGLIMA HITAM

RAJA RASHID: Kemungkinannya amat kecil selagi dalam rangka hubungan diplomatik yang baik kerana itu mampu membendung provokasi bertukar menjadi konfrontasi.Kalau tercetus peperangan bukan kita sahaja yang menerima akibatnya malah mereka juga.

Tidak ada untung pada mana-mana pihak malah lebih rugi. Ini disebabkan rakyat dan pemimpin kedua-dua negara ini telah membentuk dan membina negara masing-masing dengan cemerlang, taraf hidup yang baik selain mempunyai hubungan kuat di peringkat rakyat.

Walau apa sekalipun alasan, tidak harus sampai menggunakan kekerasan. Semua perkara boleh dirunding termasuk isu air. Malaysia tidak akan gunakan air sebagai senjata, itu tidak berperikemanusiaan dan bukan pun tindakan yang bijak. Kalau hendak lakukan, boleh dilakukan dulu lagi. Lagipun Singapura sedang dan boleh mendapatkan air dari sumber lain. Hubungan ketenteraan dengan Singapura juga sentiasa baik. Sebab kita dalam kelompok ASEAN dan Peraturan Pertahanan Lima Negara atau FPDA (yang turut dianggotai oleh United Kingdom, New Zealand dan Australia). Singapura harus berfikir banyak kali sebelum bertindak sedemikian kerana mereka mungkin menanggung kerugian lebih besar. Lagipun Singapura memerlukan kita lebih daripada kita memerlukannya.

Jadi jangan takut kepada Singapura. Jika berlaku apa-apa, percayalah kita sudah bersedia dengan rahsia kekuatan kita. Tetapi pada saya, orang yang putus akal sahaja yang hendak berperang.


MBT Pendekar!

Biar apa pun yang orang tuduh ATM dengan berbagai-bagai cemuhan dan caci maki, cuba kita fikir balik siang dan malam kita selamat ke tak? Mudah tak kita nak ke sana ke mari? Mudah tak kita nak keluar mencari rezeki? Disebalik kesenangan dan kemewahan yang kita kecapi, korang ada fikir sape disebalik semua ni? Tepuk dada tanyalah hati.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

1 ulasan: on "Menghadapi ancaman Singapura"

Catat Ulasan