DARIPADA Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi bahawa keduanya masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: "Bagaimana keadaanmu pagi ini? Ia menjawab: Aku berada dalam keadaan baik. Syaddad berkata kepadanya: Bergembiralah engkau dengan perkara yang menghapuskan dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah berfirman: Apabila aku menguji seseorang dari hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan ibunya, bersih daripada segala kesalahan, dan Tuhan berfirman kepada malaikat penulis amal itu: Aku sudah mengikat hamba-Ku itu dan mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) ketika ia berkeadaan sihat." (Hadis riwayat Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi)
Alangkah beruntungnya mereka ditimpa ujian Allah, tetapi reda dengan keadaannya kerana tidak ramai daripada kita apabila didatangkan ujian sedangkan Allah menjanjikan amalan baik untuk mereka yang tidak merungut.
Sepatutnya apabila berhadapan dengan keadaan kurang menyenangkan, hendaklah kita bersangka baik kerana mungkin itu untuk menghapuskan dosa atau peringatan supaya kita bermuhasabah diri.
Nabi SAW bersabda bermaksud: "Tidak ada sesuatu menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti, atau kesusahan mengingatkan apa yang berlaku sehinggakan tikaman duri mencucuknya melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya, sebahagian dari dosanya." (Hadis riwayat Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah)
Begitu juga apabila didatangkan sakit berpanjangan, kita dilarang sekali berdoa meminta mati hanya kerana tidak tahan menanggung ujian sakit dan ingin ditamatkan segera kesakitan itu.
Sebaliknya, jangan kita berputus asa berdoa supaya diberi kesabaran dan pada masa sama mengharapkan belas ehsan-Nya supaya dikembalikan nikmat kesihatan.
Ada kalanya, keadaan kita yang terdampar sakit bukan hanya kerana Allah ingin menguji kita, tetapi juga orang di sekeliling seperti ahli keluarga dan saudara mara.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Jangan sekali-kali seseorang kamu bercita-cita hendakkan mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; jika keadaannya mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata: Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku." (Hadis riwayat Anas).
0 ulasan: on "Mukmin patut bersangka baik ketika ditimpa ujian, musibah"
Catat Ulasan