(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Angkatan Tentera yang hendaklah bertanggungjawab di bawah kuasa am Yang di-Pertuan Agong bagi pemerintahan, tatatertib dan pentadbiran angkatan tentera, dan segala perkara lain yang berhubungan dengannya selain perkara yang berhubungan dengan penggunaan angkatan tentera bagi maksud operasi.
(2) Fasal (1) berkuat kuasa tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan, dan mana-mana undang-undang itu boleh membuat peruntukan bagi peletakhakan apa-apa fungsi mengenai angkatan tentera pada Majlis Angkatan Tentera.
(3) Majlis Angkatan Tentera hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut, iaitu:
- (a) Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pertahanan, yang hendaklah menjadi Pengerusi;
- (b) seorang anggota yang mewakili Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, yang hendaklah dilantik oleh Majlis Raja-Raja;
- (c) Panglima Angkatan Tentera yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;
- (d) seorang anggota preman, iaitu orang yang melaksanakan tugas jawatan Ketua Setiausaha Pertahanan, yang hendaklah bertindak sebagai Setiausaha Majlis Angkatan Tentera;
- (e) dua orang pegawai turus kanan Angkatan Tentera Persekutuan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;
- (f) seorang pegawai kanan Tentera Laut Persekutuan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;
- (g) seorang pegawai kanan Tentera Udara Persekutuan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;
- (h) dua orang anggota tambahan, jika ada, sama ada anggota tentera atau preman, yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
(4) Majlis Angkatan Tentera boleh bertindak walaupun ada kekosongan dalam keanggotaannya dan, tertakluk kepada Perlembagaan ini dan kepada undang-undang persekutuan, boleh membuat peruntukan bagi semua atau mana-mana perkara yang berikut:
- (a) penyusunan kerjanya dan cara bagaimana fungsinya akan dilaksanakan, dan penyimpanan rekod dan minit;
- (b) tugas dan tanggungjawab anggota Majlis itu masing-masing, termasuk pewakilan mana-mana kuasa atau tugasnya kepada mana-mana anggota Majlis itu;
- (c) rundingan yang diadakan oleh Majlis itu dengan orang selain anggotanya;
- (d) tatacara yang akan diikuti oleh Majlis itu pada menjalankan urusannya (termasuk menetapkan kuorum), melantik, mengikut pilihannya, seorang naib pengerusi daripada kalangan anggotanya, dan fungsi naib pengerusi;
- (e) apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Majlis itu perlu atau suai manfaat dibuat peruntukan mengenainya untuk melaksanakan fungsinya dengan lebih baik.
0 ulasan: on "Perlembagaan Persekutuan Malaysia : Perkara 137 - Majlis Angkatan Tentera"
Catat Ulasan