Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Selasa, 5 Julai 2011

Jenayah terhadap wanita di mana-mana


Keganasan sering terjadi kerana penjenayah lelaki beranggapan mereka berkuasa dan mampu mengawal golongan hawa

Dalam kebanyakan kes jenayah, mangsanya adalah golongan hawa. Wanita sering menjadi sasaran utama penjenayah kerana mereka dianggap lemah, tidak berupaya melawan dan lebih mudah untuk ditewaskan, sekali gus senang dijadikan mangsa.

Justeru, sebagai langkah pencegahan dan menjaga keselamatan diri, wanita perlu lebih berhati-hati atau berwaspada serta jangan sesekali memberi dan membuka ruang kepada penjenayah melakukan sesuatu ke atas diri mereka.

Ketua Penolong Pengarah (D11) Bahagian Siasatan Seksual/Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner (ACP), Suguram Bibi Munshi Deen, berkata terdapat banyak kes jenayah yang membabitkan wanita di negara ini, termasuk jenayah seksual seperti rogol dan liwat, bunuh, kes ragut selain terdedah dengan pelbagai kes penderaan seperti gangguan seksual, ugutan dan penderaan fizikal.

“Penjenayah lazimnya lelaki, manakala mangsa adalah wanita. Keganasan terhadap wanita sering terjadi kerana penjenayah lelaki beranggapan, mereka sangat berkuasa dan mampu mengawal wanita. Selain itu wanita juga mempunyai kelemahan lain seperti mudah terpedaya dan begitu senang mempercayai orang lain walaupun baru saja dikenalinya. Oleh sebab itulah wanita perlu lebih prihatin dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjaga keselamatan dirinya,” katanya ketika membincangkan tajuk, Jenayah Terhadap Wanita pada forum Bicara Wanita Siri 1: Hak dan Isu Wanita Malaysia yang diadakan di Kolej Tun Syed, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, kes jenayah yang membabitkan wanita sebagai mangsa di negara ini merangkumi pelbagai peringkat usia dan latar belakang iaitu dari pelajar hinggalah yang tidak bekerja dan tidak terkecuali di kalangan profesional seperti doktor serta pensyarah.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini statistik menunjukkan mereka yang berusia bawah 16 tahun adalah yang paling tinggi menjadi mangsa. Pada 2007, jumlah mereka yang berusia bawah 16 tahun menjadi mangsa ialah 1,653 kes berbanding 1,302 pada 2006, manakala 2005 dan 2004 masing-masing mencatatkan 924 dan 846 kes.

Statistik turut menunjukkan golongan pelajar adalah paling ramai menjadi mangsa iaitu 1,806 kes pada 2007 dan 1,355 kes pada tahun sebelumnya. Golongan wanita yang tidak bekerja turut menjadi sasaran utama penjenayah. Ini dibuktikan dengan jumlah statistik yang direkodkan iaitu sebanyak 728 kes pada 2007 dan 612 kes bagi 2006.

Suguram berkata, jenayah dan keganasan terhadap wanita boleh berlaku di mana-mana saja termasuk di tempat awam, hotel, di rumah dan terkini ialah di internet.

Justeru, katanya, wanita tidak boleh membiarkan diri mereka menjadi sasaran penjenayah dan elakkan perkara yang boleh menjerat diri mereka sendiri kerana penjenayah sentiasa mencari peluang terutama jika mangsa terleka seketika.

“Penjenayah sentiasa mencari peluang untuk mencari mangsa. Untuk itulah wanita perlu berhati-hati dan jangan membuka ruang untuk dijadikan mangsa. Misalnya, jika berjalan sendirian elakkan melalui kawasan sunyi dan terpencil. Begitu juga apabila pergi ke pusat hiburan atau tempat yang penuh sesak dan ramai orang seperti disko, jangan terlalu hendak berseronok sehingga leka diri.

“Di tempat seperti itu, macam-macam perkara boleh berlaku, misalnya minuman anda mungkin akan dicampuri pil khayal oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Apabila diri anda dalam keadaan tidak sedar, banyak perkara buruk boleh terjadi,” katanya.

Beliau turut menasihatkan wanita supaya jangan begitu mudah percaya dengan janji manis orang yang baru dikenali kerana dibimbangi sebagai perangkap untuk diperdayakan.

Selain itu katanya, pada masa kini ramai wanita yang senang sekali terjerat dan menjadi mangsa kepada rakan baru dikenalinya melalui laman sosial di internet seperti Friendster, MySpace, Xanga, atau Facebook.

Senario itu membimbangkan dan perlu ditangani lebih-lebih lagi ia banyak mengaitkan wanita muda berusia bawah 16 tahun yang masih dalam tanggung jawab dan pengawasan ibu bapa atau penjaganya.

Ketahui hak untuk selamat diri

WANITA bukan sekadar menjadi mangsa, tetapi ada kala terpaksa hidup menderita sepanjang masa. Realiti kehidupan itulah yang akan dilalui wanita jika sekiranya mereka tidak tahu atau tidak mahu mengambil peduli hak yang ada pada mereka.

Pensyarah Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berkata adalah lebih baik bagi setiap wanita mengetahui hak masing-masing termasuklah haknya ketika sebelum berkahwin, hak selepas atau ketika berkahwin dan juga hak selepas sesuatu perkahwinan itu dibubarkan.

Noor Aziah berkata, peruntukan undang-undang yang ada pada masa kini adalah sama rata antara wanita dan lelaki serta tiada diskriminasi, justeru setiap wanita perlu tahu hak mereka dan sekiranya ada masalah yang timbul saluran undang-undang boleh digunakan sepenuhnya bagi mendapatkan keadilan sewajarnya.

“Sama ada lelaki atau wanita buat salah, melalui undang-undang dan peruntukan yang sedia ada masing-masing boleh dihukum dan menuntut keadilan. Bagi wanita khususnya perlulah lebih berhati-hati dan mesti tahu hak mereka supaya tidak teraniaya. Ini kerana dalam kebanyakan kes, lelaki yang selalunya melanggar hak wanita,” katanya yang membincangkan tajuk berkaitan undang-undang dan hak wanita.

Beliau berkata, selain mengetahui hak yang ada wanita juga perlu berhati-hati dalam apa juga tindakan dan keputusan dibuat bagi mengelakkan diri daripada berdepan dengan masalah yang berpanjangan atau mendatangkan bebanan pada masa hadapan.

“Contohnya, apabila suami hendak buat pinjaman duit, isteri jangan jadi penjamin kerana paling malang apabila suami meninggal dunia, isteri sebagai penjamin mesti membayar terus pinjaman itu. Begitu juga apabila membeli kereta. Ketika masih ada ikatan suami isteri, hutang kereta dibayar sama banyak oleh kedua-duanya, tetapi apabila berpisah, isteri yang tanggung sepenuhnya,” katanya.

Noor Aziah berkata, dalam mencari pasangan hidup sama ada wanita yang beragama Islam atau bukan Islam, mereka mempunyai hak untuk menentukannya. Malah, sesebuah perkahwinan itu hanya akan terjalin apabila kedua-dua pihak bersetuju. Tanpa persetujuan salah satu pihak, perkahwinan itu boleh dibatalkan.

Beliau turut menyatakan kebimbangan mengenai senario yang berlaku dalam perkahwinan pada masa kini. Katanya, kebanyakan wanita berkahwin terpaksa menanggung segala-galanya untuk keperluan nafkah keluarga, tetapi yang menyedihkan akhirnya ditinggalkan suami.

“Wanita senang dipikat. Oleh sebab itulah apabila sudah berkahwin ada yang tidak kisah jika suami tidak memberinya nafkah. Sepatutnya, isteri sebagai ‘menteri kewangan’ di rumah perlu lebih berhati-hati. Jika suami tidak beri nafkah mesti tanya dan minta, sekalipun wanita itu bekerja. Biarlah dikatakan berkira sangat, yang penting wanita itu tahu haknya,” katanya.

Noor Aziah berkata, seandainya perkahwinan yang dibina tidak bahagia wanita juga ada hak untuk ‘dilepaskan’. Ada ruang untuk wanita itu menuntut perceraian sekiranya itu yang diinginkan, tetapi semuanya perlulah mengikut prosedur undang-undang dan peruntukan sudah digariskan serta ditetapkan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Pembangunan Wanita, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Nor Salina Salim yang membincangkan mengenai persoalan gender dan pembangunan wanita di negara ini, berkata sebagai agensi pelaksana Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, JPW bertanggungjawab merancang dan melaksanakan program pembangunan kapasiti wanita dalam bidang sosial dan ekonomi.

Nor Salina berkata, bagi memastikan matlamat itu tercapai, membentuk keperluan strategik gender adalah penting supaya ia dapat mengurangkan risiko wanita terpinggir daripada arus pembangunan, dikasari dan juga dieksploitasi.

“Kesaksamaan gender sebagai asas utama bukan saja berkaitan kuasa, tetapi juga merangkumi hal lain seperti keselamatan dari segi ekonomi, kebebasan membuat pilihan, perkongsian tanggungjawab reproduktif bersama lelaki, perancangan ke arah kekuatan, perpaduan dan tindakan.

“Untuk memastikan semua itu tercapai, JPW melaksanakan pelbagai program pembangunan ekonomi dan kapasiti kepada kumpulan sasar. Pelaksanaan aktiviti berkenaan berupaya membantu wanita menjana pendapatan yang lebih baik,” katanya.

Beliau menegaskan, wanita mesti menjana ekonomi sendiri supaya jika berlaku apa-apa dalam keluarga sekurang-kurangnya ada punca pendapatan. Ketiadaan sumber ekonomi bukan saja memberi impak kepada diri wanita berkenaan semata-mata, tetapi turut membabitkan anak.

Nor Salina berkata, pembentukan kesaksamaan gender juga berkaitan dengan perkongsian kuasa dan hak serta menghormati keputusan yang dibuat oleh lelaki mahupun wanita.

“Memang diakui lelaki boleh jadi pemimpin, tetapi sebagai pemimpin mestilah juga dengar pandangan wanita. Apa pun, perspektif gender tidak boleh rujuk sepenuhnya daripada model Barat, tetapi hendaklah ikut acuan agama dan budaya masyarakat di Malaysia,” katanya.

Beliau turut memberitahu, peranan lain JPW ialah memberikan khidmat bimbingan kaunseling kepada mana-mana wanita bermasalah memerlukannya termasuk yang mengalami tekanan dan gangguan emosi serta memberikan maklumat berkaitan ekonomi dan kewangan.

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Jenayah terhadap wanita di mana-mana"

Catat Ulasan