SAYA berusia 22 tahun dan berkahwin sejak dua tahun lalu. Saya mempunyai cahaya mata berusia tujuh bulan. Masalah saya ialah saya kurang memperoleh kepuasan seks apabila bersama suami.
Nafsu saya hanya kadang-kadang terasa ingin bersama sedangkan suami selalu mahukannya. Saya amat keliru kerana nafsu saya makin menurun. Untuk pengetahuan doktor, saya juga melakukan onani selepas mengadakan hubungan seks untuk memperoleh klimaks.
Bantulah saya untuk mengatasi masalah ini.
Insan Merana
PUAN, isu yang anda hadapi adalah masalah seksual yang sering dialami wanita. Mengikut kajian di Barat antara 33 peratus hingga 67 peratus wanita mengalami masalah ketidakpuasan dalam hubungan seks atau memiliki libido rendah.
Libido rendah boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Keletihan, tekanan serta tanggung jawab harian sebagai isteri dan ibu adalah faktor psikologi utama yang menyumbang kepada masalah ini.
Ada kajian menunjukkan seorang ibu yang mempunyai anak berumur kurang dari lima tahun mempunyai risiko mendapat masalah ini tiga kali ganda berbanding wanita yang lain.
Ada beberapa faktor lain yang boleh mengurangkan nafsu seksual wanita. Ini termasuk:
* Masalah kesihatan seperti endometriosis, fibroids, penyakit thyroid dan kencing manis. Selain itu, pengambilan ubat-ubatan seperti ubat anti kemurungan SSRI dan sesetengah ubat yang diberi untuk rawatan penyakit darah tinggi.
* Masalah hormon yang berlaku ketika mengandung dan menyusu juga boleh mempengaruhi libido. Bagi wanita yang pada peringkat umur perimenopausal juga boleh mengalami masalah sama. Kekurangan hormon estrogen ketika peringkat umur ini juga mengakibatkan kekeringan vagina. Ini mendatangkan kesakitan ketika mengadakan hubungan seks serta secara tidak langsung mempengaruhi nafsu seksual.
* Masalah hubungan suami isteri juga boleh mempengaruhi nafsu. Wanita memerlukan lebih tumpuan dan belaian serta interaksi bersama pasangan jika dibandingkan dengan lelaki. Tindak balas seksual wanita adalah lebih kompleks dari lelaki. Nafsu wanita boleh bangkit hasil dari interaksi seperti belaian, percakapan atau makan malam romantis.
Kebanyakan lelaki hanya mementingkan kepuasan seksual diri sendiri. Jika tumpuan dan perhatian ini tidak berlaku dalam perhubungan suami isteri, libido akan terjejas.
Untuk mengatasi masalah yang anda hadapi, paling penting untuk diingat ialah soal kekerapan hubungan seksual bukanlah pengukur. Apa yang penting ialah kepuasan puan dalam hubungan seksual.
Komunikasi antara pasangan juga penting. Suami perlu faham bahawa anda mengalami masalah ini serta membantu puan mencapai kepuasan, bukannya mengutamakan kepuasan beliau saja.
Ada beberapa cara yang dicadangkan pakar terapi seksual wanita bagi memulihkan libido. Antara langkah itu ialah:
* Berbincang dengan suami mengenai masalah yang anda hadapi. Cari jalan penyelesaian bersama. Semasa hubungan seksual, minta suami memberi tumpuan lebih kepada fokus erotik yang ada pada puan.
Banyakkan foreplay dan stimulasi. Beritahu suami apa yang puan mahu semasa hubungan seksual. Usah tumpukan kepada kemaluan saja. Cari kelainan dan ubah cara hubungan seksual seperti tukar posisi dan tempat melakukan hubungan seksual.
Hubungan seksual tidak terhad pada bilik tidur saja. Gunakan imaginasi anda. Pastikan tempat tidur kondusif dan romantik untuk hubungan seksual. Elak dari gangguan ketika hubungan seksual seperti anak menangis dan bunyi telefon.
Ambil masa untuk melakukan hubungan seksual. Usah terburu-buru mencapai orgasm. Ini penting untuk difahami terutama bagi pihak suami puan.
* Puan ada menyebut mengenai onani selepas hubungan bersama suami. Onani adalah salah satu cara baik memulihkan libido. Anggapan bahawa wanita yang melakukan onani tidak akan puas apabila bersama pasangan, adalah tidak benar.
Onani akan membolehkan puan mengenali fokus erotik pada badan serta apa yang membawa kepada kepuasan seksual dan orgasm. Maklumat ini perlu disampaikan kepada suami. Ketika melakukan hubungan, beliau boleh menggunakan maklumat ini untuk memberi kepuasan kepada anda.
* Jika anda mengalami masalah kekurangan lubrikasi pada vagina yang membawa kepada kesakitan ketika hubungan seksual, krim pelincir berasaskan air boleh digunakan. Krim pelincir ini boleh didapati dengan mudah di farmasi.
* Ketika ini, tidak ada ubat khusus untuk merawat masalah kekurangan libido pada wanita. Kebanyakan rawatan tertumpu kepada terapi psikologi dan kaunseling.. Kajian Barat membabitkan penggunaan ubat PDE5 inhibitor seperti Viagra gagal menunjukkan keberkesanan merawat masalah ini.
0 ulasan: on "Dilema isteri tidak puas"
Catat Ulasan