MASALAH rumah tangga yang berlaku dalam hidup pasangan suami isteri tidak akan selesai sampai bila-bila selagi tidak wujud kata sepakat dan tolak ansur di kalangan kedua-dua pihak.
Ada ketikanya timbulnya masalah bukan kerana sikap pasangan itu tetapi disebabkan orang ketiga yang menjadi penghalang kepada kebahagiaan yang diingini.
Ia juga boleh terjadi kerana perangai pasangan yang seolah tidak menghargai kesetiaan yang telah termenterai antara kedua-dua pihak semasa memilih untuk hidup bersama.
Apa pun alasan dan sebabnya, masalah tersebut boleh diselesaikan jika pasangan mempunyai kesedaran, rasa insaf dan bertanggungjawab terhadap komitmen masing-masing.
Kisah Ira (bukan nama sebenar) merupakan pengakuan ikhlas seorang isteri terhadap perangai suami yang amat dicintainya. Namun setakat cinta dan kasih saja tidak mencukupi untuk menjerat hati suami, kata Ira.
Ira berdepan dengan pelbagai masalah dan ujian termasuk membabitkan keluarga mertua. Demi anak yang bakal lahir, dia beralah dan berdoa agar satu hari suaminya akan berubah.
Kepada saya, Ira meluahkan perasaannya untuk dikongsi bersama pembaca dengan harapan mereka yang senasib dengannya akan terus tabah menghadapi ujian Allah SWT
Ikuti kisah Ira:
"Ini kali pertama saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman bersama anda semua terutama wanita yang senasib dengan saya.
"Biarkan saya perkenalkan diri, nama saya Ira, baru setahun lebih berkahwin dan sudah dikurniakan seorang anak lelaki berusia lima bulan.
"Alhamdulillah kehadiran cahaya mata ini memberi sinar baru kepada saya, malahan mengubah sikap suami yang dulunya seorang kaki perempuan.
"Bukan tujuan saya menceritakan keburukan suami tersayang tetapi sekadar meluahkan perasaan dan berkongsi pengalaman ini agar semua kaum wanita di luar sana mendapat iktibar daripada apa yang saya alami.
"Saya berkahwin dengan suami atas dasar suka sama suka. Percintaan kami terlalu singkat sehinggakan saya tidak pernah fikir bahawa kami akan bernikah begitu cepat.
"Sebelum berkahwin, saya tahu suami seorang yang Romeo, kaki perempuan. Malah beberapa hari sebelum kami diijabkabul, dia masih berjumpa seorang janda dan berlaku sumbang dengan perempuan itu. Bukan dengan janda ini sahaja tetapi ramai lagi perempuan yang dia tidur di luar pengetahuan saya.
"Setelah empat bulan menjadi suami isteri, saya disahkan mengandung tiga bulan. Ketika ini bermacam-macam ujian yang saya terima.
"Masuk enam bulan usia perkahwinan, perang besar berlaku. Saya terpaksa membuat laporan polis kerana dipukul oleh suami dan terpaksa bertindak lari meninggalkan rumah.
"Bayangkan sepanjang saya keluar dari rumah tidak pernah sekalipun suami datang memujuk atau menghubungi saya, malahan duit belanja pun tidak diberi, padahal ketika itu saya sedang mengandung.
"Mujurlah keluarga memberi sokongan kuat kepada saya agar terus bersabar. Seperti yang saya bimbangkan, suami kembali ke perangai asalnya dan berlaku curang kepada saya.
"Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Sakitnya hati, hancur luluh mengenangkan dia melayan perempuan lain sedangkan saya terabai dengan anak dalam perut yang sedang membesar.
"Pada masa sama, saya harapkan perkahwinan kami tidak akan berakhir dan saya berdoa agar suami akan kembali ke pangkal jalan. Saya tidak mahu anak saya lahir tanpa melihat ayahnya. Saya mahu menyelamatkan rumah tangga saya.
"Sokongan keluarga terus menjadi kekuatan saya. Saya melakukan solat hajat dan beramal ibadat sepenuh hati untuk mendapatkan ketenangan.
"Akhirnya saya mendapat petunjuk daripada Allah SWT. Saya merendah diri dengan pergi melutut kepada suami untuk mencari penyelesaian. Semuanya kerana kasih dan cinta saya kepadanya.
"Saat itu saya merasakan maruah saya terlalu rendah seperti dipijak-pijak tetapi apakan daya, atas nama isteri dan demi masa depan anak di dalam perut, saya reda.
"Saya tidak sanggup memikul gelaran janda dalam usia yang muda dan mengambil keputusan mengalah kerana saya yakin, rumah tangga kami masih boleh diselamatkan.
"Sayangnya tidak ada respons daripada suami. Dia seperti tidak kisah dengan rayuan dan tangisan saya. Malah saya dimalukan di hadapan keluarganya dan dipaksa meminta maaf kepada mereka.
"Apa yang membuatkan saya kesal di sini, keluarga suami seolah-olah menyalahkan saya seorang dalam masalah kami ini tanpa mengetahui perangai buruk anak mereka.
"Bagaimanapun, tidak berapa lama, kami berbaik seketika. Ketika saya menunggu dalam hari untuk bersalin, sekali lagi saya dikejutkan dengan berita suami saya pernah mengadakan hubungan sulit bersama seorang teman baik saya.
"Sekali lagi saya tersentak dan makan hati. Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya, antara sedar dengan tidak, air mata saya bercucuran ke pipi.
"Saya meminta suami memberi penjelasan tentang perkara tersebut. Katanya, kejadian itu berlaku ketika kami sedang bercinta. Apa lagi yang hendak saya kata, menangis air mata darah sekalipun masa tidak akan dapat diputar kembali.
"Sejak itu saya tidak pernah mempercayai suami saya walaupun hanya satu peratus, malahan alasannya yang mengatakan sudah ada anak, tidak mahu mengulangi perkara yang sama sudah basi bagi saya. Saya hanya tersenyum setiap kali dia ucapkan kata-kata tersebut.
"Sebabnya saya tahu, bila-bila masa dia boleh melakukan apa yang dia mahu terutama bab perempuan. Apa pun saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi segala kemungkinan yang akan suami saya lakukan selepas ini.
"Sebagai manusia biasa tahap kesabaran seseorang itu ada hadnya. Begitu juga dengan saya. Sebenarnya banyak lagi peristiwa pahit yang saya alami tapi cukuplah sekadar ini sahaja yang dapat saya kongsikan.
"Yang lain biar saya simpan di hati sebab pada saya setiap masalah rumah tangga perlu diselesaikan oleh tuan empunya diri sahaja. Orang lain tidak boleh campur.
"Tapi macam saya katakan, tahap kesabaran saya sebagai manusia khasnya isteri juga ada batasnya, kalau sudah meletup tidak ada gunanya lagi. Saya harap suami saya akan benar-benar berubah.
"Kepada mertua, jangan lihat kebaikan anak sahaja dan menyalahkan menantu. Dengar suara anak menantu dan buat pertimbangan.
"Saya harap para suami dapat berfikir dengan matang sebagai lelaki, suami dan bapa. Jangan ambil mudah masalah rumah tangga. Belajar untuk menjadi suami dan bapa yang bertanggungjawab.
"Jangan hanya pandai bernikah tetapi tanggungjawab dan fungsi sebagai suami dan bapa tidak dilaksanakan. Ingat di dunia mungkin anda semua terlepas, tapi di akhirat….ganjaran Alalh pasti menanti!'' Ira menutup ceritanya.
Syabas dan tahniah saya kepada Ira yang berani memperjuangkan hak dan mempertahankan kedudukannya sebagai isteri. Kekuatan dan semangat inilah yang harus ada pada semua wanita yang bergelar isteri.
Jangan mengalah pada keadaan. Negara ini ada undang-undang dan kaum wanita dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang yang memastikan hak dan masa depan mereka terbela.
Doa saya agar rumah tangga Ira akan terus berkekalan dan semoga kehadiran cahaya mata bakal membawa sinar bahagia buat Ira dan suami.
Menutup kata istimewa buat Ira, perubahan daripada lemah kepada kuat adalah pertarungan yang panjang, tapi itulah perjuangan sejati.
Bagi meredakan ketenangan, sambutlah waktu pagi yang cerah dengan senyum yang indah. Sambutlah malam yang sunyi dan tenang. Sambutlah siang yang bercahaya dan bersinar. Kerana di antara waktu-waktu itu ada bahagia yang menunggumu!
Salam
0 ulasan: on "Kesabaran saya ada batasnya"
Catat Ulasan