Sejak sekian lama, Malaysia berjaya membina hubungan ketenteraan yang erat dengan negara-negara tetangga terutama di rantau ASEAN serta Asia Pasifik menerusi pelbagai program latihan bersama.
Eksesais Land Malphi yang melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Filipina yang berlangsung di Kuching, Sarawak adalah contoh terbaik bagaimana hubungan dua hala terbina kukuh antara Malaysia dan Filipina.
Berlangsung selama 12 hari bermula 2 Oktober lalu di Kem Penrissen, latihan yang memasuki siri ke-13 itu melibatkan seramai 150 anggota TDM serta 45 anggota Tentera Darat Filipina.
Objektifnya bersifat timbal-balik iaitu mempertingkatkan kebolehan kedua-dua pasukan keselamatan berkenaan dalam merancang dan melaksanakan operasi bersama.
Paling penting, latihan itu menjadi medan terbaik untuk menilai kemampuan anggota TDM dalam menghadapi peperangan konvensional di rantau ini.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi berkata, latihan tersebut wujud melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua negara pada September 1994.
Katanya, yang pertama berlangsung pada 1999 di Kota Kinabalu, Sabah.
Konsep sepanjang latihans itu adalah berbentuk Command Post Exercise (CPX) yang memberi tumpuan terhadap situasi peperangan konvensional mengikut persekitaran Malaysia.
"Di samping bertujuan mengenali prosedur dan dasar yang diguna pakai di negara jiran, latihan ini juga dapat menguji kefahaman anggota kedua-dua pasukan mengenai prosedur semasa, sama ada prosedur perang atau prosedur pentadbiran," katanya dalam majlis pembukaan Eksesais Land Malphi Siri 13/2012 di Kem Penrissen baru-baru ini.
Hadir sama Naib Pemerintah Tentera Darat Filipina, Brigedier Jeneral Essel D. Soriano dan Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar.
Menurut Ahmad Hasbullah, Eksesais Land Malphi dibahagi kepada dua fasa iaitu Fasa Latihan Silang dan Fasa Pos Pemerintah (Postah).
Katanya, dalam Fasa Latihan Silang, para peserta didedahkan dengan aspek syarahan dan tatacara permainan olah perang manakala menerusi Postah, mereka akan beroperasi bersama sebagai sebahagian daripada Brigade Task Force.
Sementara itu katanya, senario latihan pula memberi tumpuan kepada fasa pertahanan dalam peperangan konvensional yang dikawal sepenuhnya oleh unit bertanggungjawab iaitu Markas 3 Briged.
"Latihan ini bakal menilai tahap kemampuan pegawai-pegawai dan staf dalam merancang serta melaksanakan tugas dan tanggungjawab mengikut tatacara Multinational Forces Standing Operating Procedure," katanya.
Sementara itu, Essel D. Soriano berkata, pihaknya berharap Eksesais Land Malphi dapat meningkatkan persefahaman di samping mengeratkan hubungan baik antara Tentera Darat Filipina dengan TDM yang terjalin sejak sekian lama.
"Persefahaman ini amat penting bagi memastikan kita dapat bekerjasama dalam kerangka keselamatan serantau, terutamanya apabila melibatkan wilayah bersama seperti sempadan Malaysia dan Filipina.
"Menerusi beberapa program bersama termasuk mesyuarat melibatkan dua pihak baru-baru ini, saya percaya hubungan baik pasukan keselamatan Malaysia - Filipina ini akan berkekalan," katanya.
0 ulasan: on "Tentera Malaysia - Tentera Filipina : Kerjasama serantau tingkatkan keselamatan"
Catat Ulasan