KOTA BHARU - Kelab Penyokong Bola Sepak Siber Kelantan Darul Naim (kelate.net) menyifatkan kehilangan dua tonggak utama Red Warriors,
Mohammad Ghaddar dan Norfarhan Mohammad tidak menjejaskan persiapan
pasukan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini.
Timbalan Presiden kelate.net, Mahizi Mahmood berkata, meskipun Red Warriors bakal beraksi tanpa dua tonggak tersebut, pihaknya tetap optimis Kelantan mampu menjulang kejuaraan tersebut.
Menurut Mahizi, pihaknya percaya kekosongan tersebut mampu digalas oleh pemain lain memandangkan Red Warriors memiliki skuad yang mantap.
"Dalam pasukan Kelantan tiada istilah pemain utama atau simpanan.
Semua pemain yang ada mampu menggalas tugas sekiranya diturunkan untuk
beraksi dalam perlawanan tersebut.
"Kami selaku penyokong menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada
jurulatih Kelantan, Bojan Hodak untuk membuat percaturan terbaik dalam
perlawanan tersebut bagi memastikan Piala Malaysia dibawa pulang ke Kota
Bharu.
"Kita masih ada Indra Putra Mahyuddin dan Mohd. Afiq Azmi yang mampu menggalas tugas di posisi serangan.
"Begitu juga dengan Mafry Balang di bahagian sayap. Harus diingat
bola sepak permainan berpasukan dan bukannya individu," katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambahnya, Indra seorang pemain berpengalaman dan mempunyai ketajaman
penyudah yang baik, begitu juga dengan Mohd. Afiq yang semakin
menampakkan keserasian setiap kali beraksi bersama Red Warriors.
Ghaddar dan Norfarhan terlepas aksi final Sabtu ini selepas masing-masing mengumpul dua kad kuning pada peringkat separuh akhir.
Kedua-dua pemain tersebut sebelum ini menerima kad kuning dalam aksi separuh akhir pertama di Kota Bharu 6 Oktober lalu.
Mahizi memberitahu, Red Warriors berada pada landasan tepat untuk melakar sejarah baharu bola sepak di negeri ini dengan meraih tiga piala dalam satu musim.
"Inilah peluang terbaik untuk mencipta sejarah dengan meraih tiga piala buat kali pertama.
"Saya yakin dan percaya dengan kekuatan yang ada kita mampu melakukannya.
"Bagaimanapun keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak boleh
dipertikaikan. Jadi saya berharap pemain dapat memberikan aksi terbaik
dalam perlawanan tersebut.
"Kami selaku pemain ke-12 akan membanjiri stadium bagi meniup semangat kepada pemain untuk mencipta sejarah tersebut," tegasnya.
0 ulasan: on "Sukan : Kelantan mampu tanpa Ghaddar, Norfarhan"
Catat Ulasan