KOTA BHARU - Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.
Pepatah ini amat sesuai ditujukan kepada pemain yang dipinjam
Kelantan, Mohd. Afiq Azmi yang berpeluang beraksi di pentas perlawanan
Piala Malaysia buat kali pertama sejak bergelar pemain bola sepak
profesional dua tahun lalu.
Mohd. Afiq, 23, mengakui dia bersedia untuk diturunkan pada
perlawanan akhir, Sabtu ini, malah menganggapnya sebagai satu
penghormatan buat dirinya.
"Saya akan memberikan sepenuh komitmen dalam perlawanan tersebut
sekiranya diberikan peluang untuk beraksi. Ini peluang terbaik buat saya
untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih.
"Walaupun pentas perlawanan akhir adalah pengalaman pertama, namun
telah membuat persiapan dari segi fizikal dan mental untuk mengharungi
perlawanan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Meskipun hanya beraksi selaku pemain pinjaman dalam saingan Piala
Malaysia musim ini, nama Mohd. Afiq mula menjadi sebutan di kalangan
peminat setia The Red Warriors.
Pemain dari Kuala Lumpur itu telah mempamerkan aksi memberangsangkan
apabila menjaringkan empat gol sepanjang kempen Piala Malaysia musim
ini.
Ketiadaan dua tonggak utama The Red Warriors iaitu Mohammad
Ghaddar dan Norfarhan Mohammad membuka ruang kepada pemain tersebut
untuk berada dalam senarai ketua jurulatih, Bojan Hodak di pentas akhir
buat pertama kali.
Namun, semuanya bergantung kepada prestasi yang pemain itu dalam latihan pasukan.
Anak kelahiran Kampung Seriab, Perlis itu turut menanam cita-cita
meledakkan jaringan pada penampilan pertama di perlawanan akhir itu.
Kata Mohd. Afiq, dia mahu menghadiahkan gol tersebut kepada penyokong The Red Warriors yang banyak memberikan sokongan kepadanya setiap kali turun beraksi.
"Saya teruja kerana menjadi sebahagian dari The Red Warriors dan peluang ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membantu pasukan selain mencipta sejarah buat diri sendiri," ujarnya.
0 ulasan: on "Sukan : Afiq janji robek gawang ATM"
Catat Ulasan