Jamalul Kiram III
KESULTANAN Sulu adalah sistem monarki tradisional Islam orang-orang Tausug yang
meliputi wilayah Basilan, Palawan, Sulu dan Tawi-Tawi di Filipina iaitu Wilayah
Autonomi Islam Mindanao (ARMM) dan bahagian timur Sabah.
Ia diasaskan pada tahun 1457 oleh ulamak bernama Sharif Abu Bakar, yang
menyandang gelaran Sultan Shariful Hashim selepas mengahwini Paramisuli iaitu seorang
puteri tempatan.
Beliau kemudiannya memperkenalkan Kod Undang-undang Sulu (Diwan) pertama
berdasarkan al-Quran, dan memperkenalkan institusi politik Islam serta
penyatuan Islam sebagai agama rasmi negara.
Pada 1675, setelah tentera Sulu berjaya menyelesaikan perang saudara di
Brunei, Sultan Sulu dihadiahkan dengan Borneo Utara (kini timur Sabah).
Bagaimanapun pada 1878, Sultan Sulu memajak Borneo Utara kepada Eropah.
Perjanjian itu menyatakan bahawa pajakan adalah kehendak sendiri dan ia
sah sehingga akhir zaman.
Kesultanan Sulu menerima pembayaran serahan tahunan bersamaan dengan
5,000 dolar Malaya, yang kemudiannya meningkat kepada 5,300 dolar Malaya pada
1903.
Borneo Utara berada di bawah naungan British dari akhir abad ke-19.
Kawasan berkenaan mendapat tempoh singkat kemerdekaan sebelum menjadi
sebahagian daripada Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Sejak itu Malaysia membayar RM5,300 sebagai bayaran serahan setiap tahun
kepada Kesultanan Sulu.
Keturunan bekas Sultan Sulu tidak merebut kembali wilayah berkenaan,
sebaliknya bersetuju untuk menerima pembayaran serahan berdasarkan perkiraan
sebelumnya.
Keadaan ini berlanjutan sehingga beberapa minggu yang lalu.
Kesultanan Sulu kemudiannya berada di bawah kawalan Sepanyol tetapi pada
1885 mereka menandatangani Protokol Madrid dengan Britain dan Jerman bagi
melepaskan apa-apa tuntutan ke atas Borneo Utara.
Kesultanan itu berakhir apabila Sultan Jamalul Kiram II menandatangani
Perjanjian Carpenter pada 22 Mac 1915, di mana dia menyerahkan semua kuasa
politik kepada Amerika Syarikat.
Filipina, bagaimanapun terus mengiktiraf Kesultanan Sulu sebagai sebuah
entiti berdaulat sehingga kematian Sultan Mohd Mahakuttah A. Kiram pada tahun
1986.
Kini terdapat sekurang-kurangnya 11 pihak menuntut gelaran Sultan Sulu,
termasuk Sultan Jamalul Kiram III.
0 ulasan: on "Fakta Kesultanan Sulu "
Catat Ulasan