Penduduk kampung mengusung mayat salah seorang
penceroboh yang ditembak mati untuk dibawa keluar dari Kampung Seri Jaya,
Simunul di sini, Isnin. Dalam kejadian Sabtu lepas enam anggota polis maut dan
enam anggota kumpulan bersenjata turut terbunuh. – Foto BERNAMA
SEMPORNA : Kira-kira 30 penduduk Kampung Simunul mengambil inisiatif mengangkat
tiga mayat penceroboh dari kampung itu untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.
Ketua kampung, Ramli Saraman berkata tindakan mengangkat mayat itu
dilakukan bagi mengelak bau busuk berterusan yang terpaksa dihadapi para
penduduk sejak semalam.
Sabtu lepas, enam anggota pasukan keselamatan negara terkorban dalam
insiden berbalas tembakan yang turut mengorbankan tiga penceroboh.
Dalam pada itu, Ramli turut menasihati penduduk di situ agar tidak
mempercayai khabar angin yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab kerana ia
dapat mengeruhkan keadaan.
"Saya diberitahu penduduk, mereka mengatakan pihak penceroboh akan
membalas dendam dengan membakar kampung ini (Kampung Simunul) jadi saya
beritahu mereka jangan cepat percaya berita sebegitu, kerana saya sentiasa
berhubung dengan pihak polis," katanya.
Ramli yang menjadi ketua kampung itu sejak tujuh tahun lepas, berkata
tiada paksaan untuk penduduk kampung meninggalkan kediaman mereka, kerana ia
merupakan hak individu.
Beliau optimis pasukan keselamatan negara mampu mengawal keadaan, dan
menambah, keadaan kampung kembali tenang namun masih diletakkan dalam keadaan
berjaga-jaga di bawah pengawasan polis. BERNAMA
0 ulasan: on "Penduduk Kg Simunul Angkat Mayat Penceroboh "
Catat Ulasan