Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Isnin, 4 Mac 2013

Perutusan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-80



perutusan 
 
PERUTUSAN HARI ULANG TAHUN
TENTERA DARAT KE-80




Bismillahirahmanirahim

Salam Sejahtera

Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah Subahanahu Wata’ala; Tuhan sekelian alam; selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Salallahu’ Alaihi Wassalam.

Timbalan Panglima Tentera Darat, Panglima Medan Tentera Darat, Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Darat, Panglima-Panglima, Perwira-Perwira, Para Perajurit dan hadirin yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, saya melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah Subahanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan perkenan-Nya dapat kita bersama-sama untuk menyaksikan Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-80. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada saudara-saudari sekalian kerana telah berjaya mempamerkan mutu perbarisan yang amat membanggakan pada pagi yang bersejarah ini. Saya secara peribadi juga amat bersyukur kerana telah dirahmati oleh Allah Subahanahu Wata’ala untuk menyambut Ulang Tahun Tentera Darat Ke-80 bersama-sama saudara dan saudari sekalian.

Perbarisan pada pagi ini juga amat bermakna dengan kehadiran Ahli-Ahli BAKAT Tentera Darat yang kita sayangi. Kehadiran Puan-Puan bukan sahaja menyerikan lagi perbarisan pada pagi ini, malah menzahirkan pengorbanan dan sokongan padu para isteri kepada para suami yang bergelar Perwira Negara. Unsur ‘intangible’ ini sentiasa memberikan semangat, dorongan serta sokongan untuk Tentera Darat meneruskan legasi perjuangan mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara tercinta. Bagi pihak Tentera Darat, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Puan-Puan kerana sudi hadir di perbarisan ini.

Saudara-Saudari yang saya hormati sekalian,

Sebelum saya meneruskan perutusan ini, saya ingin mengajak hadirin sekalian untuk bertafakur sejenak, dan bagi yang beragama Islam, marilah kita bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah kepada rakan seperjuangan yang telah terkorban demi mempertahankan kedaulatan negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka dan menempatkan mereka bersama-sama golongan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah.........(Bertafakur). Ingatan tulus ikhlas juga ingin saya tujukan kepada balu-balu dan anak-anak kepada warga Tentera Darat yang telah gugur di medan perjuangan sebagai pahlawan negara. Tentera Darat sesungguhnya tidak akan melupakan jasa mereka dan akan sentiasa berusaha untuk membantu sedaya yang mungkin. Kepada warga Tentera Darat yang tercedera semasa melaksanakan tugas, Tentera Darat akan sentiasa menghargai pengorbanan dan jasa-jasa saudara-saudari dan akan terus membela nasib saudara-saudari agar dapat mengharungi kehidupan dengan lebih sempurna.
  
Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Tentera Darat kini telah berusia 80 tahun dan merupakan ketumbukan yang sinonim dengan keselamatan, pembangunan serta keamanan negara. Sejak ditubuhkan pada 1 Mac 1933, Tentera Darat juga telah mengharumkan nama baik negara di peringkat antarabangsa khususnya dalam misi-misi pengaman mahupun di dalam melaksanakan tugas-tugas bantuan kemanusiaan. Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan dan saya mengesyorkan bahawa Tentera Darat meneruskan kewajipan ini di masa akan datang. Namun demikian, kita harus akur bahawa keadaan geo-strategik serantau dan global secara umumnya sentiasa berubah dengan pelbagai corak ketidaktentuan serta dipengaruhi oleh ciri-ciri persekitaran yang ditafsirkan sebagai ‘VUCA’ – Vulnerable (Mudah Dilukai/Dipengaruhi), Uncertain (Tidak Ketentuan), Complex (Kompleks/Rumit) dan Ambiguous (Tidak Jelas). Di samping itu, sempadan di antara ancaman tradisional dan bukan tradisional juga semakin kabur, yang mana memerlukan Tentera Darat untuk bersiap sedia pada sebilang masa menghadapi sebarang bentuk ancaman. Keadaan ini telah memberi justifikasi kepada Tentera Darat untuk terus meningkatkan lagi tahap kesiagaannya untuk menangani sebarang bentuk ancaman melalui respons yang terbaik. Firman Allah di dalam Al Quran, Surah Al-Anfal, Ayat 60 menyebut: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang sedia ada, untuk mengerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiayai”.
         
Dalam konteks yang sama, Tentera Darat akan meneruskan kewajipannya untuk mempertahankan kesemua perbatasan dan sempadan negara daripada sebarang ancaman mahupun pencerobohan luar. Tanggungjawab ini akan sentiasa dilaksanakan dengan penuh komitmen, tekad dan secara profesional. Ini adalah hasil daripada tahap kesiagaan yang tinggi berasaskan latihan yang berkesan, peralatan dan persenjataan yang canggih serta tenaga sumber manusia yang berkualiti tinggi. Di samping itu juga, Tentera Darat akan terus bersedia membantu agensi-agensi keselamatan lain dan Pihak Berkuasa Awam dalam memelihara ketenteraman awam serta memberi bantuan semasa bencana alam di seluruh negara.

Saudara dan Saudari yang saya hormati sekalian,


Tema Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-80 ini ialah “80 Tahun Perkhidmatan Diutamakan (80 Years of Selfless Service) yang melambangkan Tentera Darat sebagai sebuah organisasi yang sarat berjasa, sentiasa berkorban demi mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara serta sebagai agen perubahan dan pembangunan dalam negara. Bagi merealisasikan kesemua ini, kedua-dua dimensi ‘Kesiagaan Tempur’ dan ‘Kualiti Hidup’ akan terus diberi perhatian pada tahun ini. Dalam pada itu, saya menghendaki setiap formasi dan pasukan di dalam Tentera Darat terus berusaha untuk mempertingkatkan tahap ‘Kesiagaan’ di Kawasan Tanggung Jawab masing-masing. Semua formasi dan unit juga dikehendaki memperkemaskan kesemua Pelan Kontinjensi yang ada agar bersiap sedia menghadapi sebarang bentuk ancaman. Dalam hal ini, Tentera Darat akan terus berusaha melengkapkan semua formasi dan unit dengan segala kelengkapan, peralatan dan persenjataan yang diperlukan berasaskan atau berpandukan peruntukan kewangan dan keperluan semasa. Pada masa yang sama, Tentera Darat akan terus dibangunkan di bawah program pembangunan strategik ‘Army 2 10 Plus 10’ dan ‘4D MAF’ yang bermatlamat menjadikan Tentera Darat sebagai sebuah angkatan yang serba berkebolehan dalam pelbagai spektrum peperangan.

Menyentuh tentang ‘Kualiti Hidup’ pula, Tentera Darat akan melaksanakan segala perancangan penyelenggaraan terhadap kem-kem tentera di bawah program ‘Army Care’ yang sedang dilaksanakan dengan pesatnya. Ini termasuk pembinaan kem-kem dan rumah keluarga baru di seluruh negara mengikut keutamaan. Saya percaya, usaha sebegini berupaya meningkatkan lagi persekitaran hidup yang lebih berkualiti demi mempertingkatkan moral setiap warga Tentera Darat untuk melaksanakan apajua penugasan yang diamanahkan. Di samping itu juga, lain-lain kemudahan dari aspek kenaikan pangkat, peluang pengajian tinggi, kemudahan perumahan, pendidikan anak-anak dan perubatan serta emolumen bagi persaraan mahupun pemberhentian, juga dilaksanakan dengan sebaiknya demi kepentingan masa depan anggota dan keluarga. Ini adalah kewajipan Tentera Darat mewujudkan komuniti tentera yang sentiasa positif, muafakat serta dedikasi terhadap kewajipan “mendukung aspirasi rakyat dan kedaulatan negara”.

Saudara-Saudari yang saya hormati sekalian,Modal Insan atau Manusia  merupakan aset yang terpenting bagi Tentera Darat. Tanpa sokongan yang padu daripada modal insan ini, (iaitu setiap daripada saudara dan saudari sekalian), Tentera Darat tidak akan dapat mencapai visi, misi dan segala matlamat yang dihasratkan. Justeru, pembangunan sumber manusia akan terus menjadi keutamaan bagi Tentera Darat untuk menjadikannya sebagai sebuah organisasi yang kredibel serta unggul di dalam segala aspek ketenteraan. Saya akui bahawa masih ada banyak perkara yang harus dilakukan untuk mencapai tahap yang disasarkan ini; namun dengan kerjasama yang padu daripada setiap lapisan warga Tentera Darat, saya yakin perkara ini dapat direalisasikan. Oleh yang demikian, latihan yang sistematik dan berterusan akan membantu Tentera Darat untuk melahirkan sumber manusia yang profesional dan berketrampilan; maka fokus terhadap latihan individu dan latihan kolektif akan terus dititikberatkan sepanjang tahun ini. Kedua-dua latihan ini akan merangkumi semua aspek Peperangan Konvensional dan ‘Operasi Selain Daripada Peperangan’, khususnya dalam ‘Operasi Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana’ dan  juga ‘Operasi Dalam Kawasan Terbina’. Kesemua ini akan membolehkan Tentera Darat untuk melaksanakan pelbagai jenis operasi termasuk menyumbang tenaga dalam misi-misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Berasaskan kepada semua perkara ini, saya menyarankan agar setiap warga Tentera Darat sentiasa berusaha mempertingkatkan prestasi dan tahap profesionalisme masing-masing. Ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti secara individu; malahan dapat mempertingkatkan pencapaian atau ‘output’ organisasi secara keseluruhannya. Antara aspek-aspek yang ditekankan ialah komitmen dan tanggungjawab secara individu, mempunyai perasaan ingin memiliki (Sense of Ownership) terhadap Tentera Darat, integriti dan etika kerja yang terbaik dan juga pembangunan diri sendiri dari semua aspek intelektual, kerohanian, akal budi ketenteraan dan sebagainya. Kesemua aspek ini akan terus membawa Tentera Darat ke suatu landasan yang lebih tinggi serta profesional demi menjamin kecemerlangan organisasi secara menyeluruh.
    
Perwira, Bintara dan Perajurit yang saya hormati sekalian,

Sabda Rasulallah s.a.w. “Telah berkata seorang lelaki, siapakah manusia yang paling afdhal (baik) wahai Rasulallah s.a.w? Sabda Baginda: Orang yang beriman dan berjihad dengan dirinya dan hartanya pada jalan Allah SWT (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebelum mengakhiri perutusan ini, saya bagi pihak seluruh warga Tentera Darat, ingin melafazkan ikrar taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Tentera Darat akan sentiasa menjunjung tinggi kedaulatan negara dan berdiri teguh menyokong penuh tampuk pemerintahan negara pada sebilang masa. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, di atas kepercayaan dan sokongan menyeluruh yang telah diberi terhadap pembangunan Tentera Darat untuk mewujudkan sebuah ketumbukan tempur yang profesional, berkeupayaan tinggi dan kredibel. Tentera Darat juga akan sentiasa menghargai segala bentuk kerjasama dan sokongan daripada Panglima Angkatan Tentera Malaysia, TLDM, TUDM, PDRM, agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun dan organisasi bukan kerajaan yang lain. Segala bentuk kerjasama, sokongan dan bantuan yang diberi hingga ke masa kini, telah membolehkan Tentera Darat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan. Tidak lupa juga, ucapan penghargaan kepada semua warga BAKAT Tentera Darat, atas segala sumbangan dan pengorbanan yang telah dicurahkan demi keharmonian institusi kekeluargaan Tentera Darat. Marilah kita sama-sama berdoa agar Tentera Darat akan sentiasa berada di bawah lembayung kerahmatan Allah Subahanahu Wata’ala agar diberi kekuatan dan kesabaran dalam menyempurnakan tanggungjawab murni yang diamanahkan supaya sentiasa mendapat sanjungan dan penghargaan dari rakyat dan Kerajaan amnya dan keberkatan dari Allah Subahanahu Wata’ala khasnya. Insyallah.

Akhir kata, saya sekali lagi menyeru kepada seluruh warga Tentera Darat, untuk menjadikan kematangan usia yang mencapai 80 tahun ini, disertai dengan azam, tekad dan semangat untuk menggembeleng tenaga ke arah menjadikan Tentera Darat sebagai ‘Teras Utama Kedaulatan Negara’, seiring dengan cogankata ‘SATU ANGKATAN : TETAP GAGAH, TETAP SETIA’. Sekian, terima kasih.
    
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

JENERAL TAN SRI DATO’ SERI PANGLIMA HAJI ZULKIFLI BIN HAJI ZAINAL ABIDIN
PANGLIMA TENTERA DARAT

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Perutusan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-80 "

Catat Ulasan