|
|
BAGINDA berbeza daripada gambaran tipikal seorang raja di dunia. Baginda seorang raja yang berjiwa rakyat, berdedikasi, berkarisma, bertenaga, gigih dan aktif. Demikian karakter yang menggambarkan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Baginda yang baru menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13 semalam juga berjaya melaksanakan tugas-tugas sebagai pemerintah negara dengan begitu cemerlang dan berkesan.
Sememangnya, susur-galur hidup Tuanku Mizan sangat menarik untuk disingkap.
Tuanku Mizan mencipta sejarah tersendiri apabila mencatatkan sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua termuda pada usia 45 tahun iaitu selepas Almarhum Tuanku Syed Putra Almarhum Syed Hassan Jamalullail yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ketiga pada usia 40 tahun. Bahkan, menariknya baginda merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang lahir selepas merdeka.
Menjengah usia 17 tahun, baginda telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Muda Terengganu pada 6 November 1979.
Tuanku Mizan dilantik sebagai Sultan Terengganu ke-16 pada 15 Mei 1998 selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Dalam lipatan sejarah, baginda juga adalah sultan termuda di negara ini pada usia 36 tahun.
Kehidupan Tuanku Mizan, 49, yang merupakan putera sulung daripada tujuh bersaudara tidak terbatas di istana semata-mata.
Sebelum berangkat ke luar negara untuk mengikuti kursus ketenteraan di England, baginda pernah berkhidmat sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu. Pengalaman selama setahun itu membenihkan pengalaman berharga kepada baginda.
Galas tanggungjawab
Aura sebagai seorang pemimpin terserlah sejak Tuanku Mizan masih muda. Baginda dikatakan sanggup meredah hutan dan turun padang bersama kakitangannya berpanas ke merata kampung bagi mengetahui cara-cara mengukur tanah.
Ketabahan baginda menghadapi dugaan dan cabaran diperkukuhkan dengan latihan ketenteraan, termasuk kursus pegawai kadet selama enam bulan di Akademi Tentera Diraja Sandhurts, England iaitu dari Mei hingga Disember 1983.
Setelah menamatkan pengajian di U.S. International University-Europe (kini dikenali sebagai Alliant International University) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Hubungan Antarabangsa), baginda dilantik sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada 11 Julai 1988 sehingga 10 Julai 1989.
Kemudian, Tuanku Mizan telah dipertanggungjawabkan sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah selama dua tahun iaitu mulai 11 Julai 1989 hingga 10 Julai 1991. Dalam tempoh itu juga sebagai Ketua Agama Islam, baginda telah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mulai 1 Jun 1991 hingga 31 Disember 1995.
|
|
Pada 28 Mac 1996, baginda telah selamat diijabkabulkan dengan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Bahtera kehidupan baginda berdua diserikan dengan empat orang cahaya mata.
Akrab dengan rakyat
Tuanku Mizan disifatkan sebagai pemerintah yang sangat prihatin terhadap kemakmuran dan keharmonian rakyat jelata. Bahkan, bagi merapatkan jurang antara rakyat dan istana, baginda mengambil pendekatan turun ke akar umbi dengan solat Jumaat di masjid-masjid seluruh negeri Terengganu.
Justeru, jolokan Raja Berjiwa Rakyat kepada Tuanku Mizan sangat bertepatan untuk baginda.
Sebagai satu landasan untuk terus meringankan beban rakyat, baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil inisiatif mewujudkan Yayasan Diraja Sultan Mizan yang dilancarkan pada 19 Julai 2005.
Yayasan itu membuka ruang seluas-luasnya untuk baginda terlibat dalam kerja-kerja amal dalam menaiktaraf sosioekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.
Tuanku Mizan dikatakan begitu mengambil berat berkenaan impak keberkesanan yayasan tersebut. Baginda bertindak proaktif dengan melibatkan diri secara langsung dengan mempengerusikan setiap mesyuarat lembaga pemegang amanah yayasan berkenaan.
Transformasi
Semasa masih bergelar Yang di-Pertuan Agong, baginda juga telah melakukan transformasi terhadap tatacara Istana Negara berurusan dengan rakyat dan kerajaan.
Transformasi itu bermula dengan rombakan dalam pentadbiran istana sendiri apabila hampir 80 peratus pegawai-pegawai kanan telah digantikan dengan mereka yang dipilih oleh Tuanku Mizan sendiri.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Mohd. Safiain Wan Hasan berkata, tiada lagi majlis larut malam yang akan dihadiri oleh Tuanku Mizan. Majlis-majlis mesti dimulakan pada pukul 8.30 malam dan berakhir pada pukul 10.30 malam.
Baginda tidak mahu rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan pulang lewat hanya disebabkan baginda, sedangkan mereka perlu bekerja pada keesokan harinya.
Dalam hubungan diplomasi pula, lawatan baginda ke Kemboja, Laos, Kuwait dan banyak lagi telah menyumbang kepada kesuburan, keakraban dan pengukuhan hubungan global. Pendekatan itu juga menjadikan Malaysia sentiasa diiktiraf dan dihormati oleh masyarakat dunia.
Lawatan kerja Tuanku Mizan selama empat hari ke benua Antartika pada pertengahan November lalu menggambarkan kesungguhan dan komitmen baginda kepada negara.
“Lawatan Seri Paduka itu dilihat akan memperkukuhkan kerjasama penyelidikan saintifik Antartika di samping mengeratkan hubungan dua hala dengan New Zealand,” ujar Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili.
Sesungguhnya, sepanjang perkhidmatan Tuanku Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda berjaya menjalankan seadil-adilnya pemerintahan mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara.
Mulai hari ini, baginda kembali bersemayam memerintah negeri Terengganu selepas lima tahun mentadbir Malaysia sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13.
0 ulasan: on "Bekas Agung : Tuanku Mizan raja berjiwa rakyat"
Catat Ulasan