KUALA TERENGGANU 12 Dis. – Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini kira-kira pukul 2.02 petang ini dari Kuala Lumpur.
Keberangkatan balik Seri Paduka berdua ke Terengganu adalah berikutan tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong selama lima tahun.
Seri Paduka berdua tiba dengan pesawat khas yang diiringi dua pesawat pejuang Sukhoi dan disambut meriah dengan penuh adat istiadat diraja.
Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail kemudian mengetuai para tetamu menghadap Tuanku Mizan bagi memohon limpah perkenan sebelum berangkat turun dari pesawat berkenaan.
Sejurus selepas itu Mufti Terengganu, Datuk Dr. Alias Abdullah memimpin bacaan doa selamat sebelum disusuli 21 das tembakan meriam serentak dengan nyanyian lagu Negaraku.
Tuanku Mizan kemudian menerima menghadap Ketua Pasukan Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja untuk memeriksa perbarisan pasukan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.
Lagu Negaraku dipersembahkan sekali lagi sebelum Seri Paduka berdua berangkat ke Istana Maziah diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, kerabat-kerabat diraja dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang bertindak sebagai Menteri Pengiring.
Kenamaan lain yang turut serta ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhammad merangkap Pegawai Pengiring Seri Paduka.
Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah kemudian diraikan pada majlis santapan petang yang dihadiri kira-kira 300 tetamu di istana berkenaan sebelum berangkat meninggalkan majlis untuk ke Istana Nur Nadirah, di sini.
0 ulasan: on "Ketibaan Tuanku disambut meriah di Kuala Terengganu"
Catat Ulasan