Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Rabu, 14 Disember 2011

Uniknya takhta Yang di-Pertuan Agong


MAJLIS Raja-Raja yang terdiri daripada raja dari sembilan buah negeri akan bersidang setiap lima tahun untuk memilih salah seorang daripada mereka sebagai Yang di-Pertuan Agong.

SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan kedudukan tertinggi di negara ini yang dipegang selama lima tahun oleh salah seorang daripada sembilan Raja-Raja Melayu di Malaysia.

Sistem Raja Berperlembagaan dalam demokrasi berparlimen ini merupakan satu-satunya sistem giliran ketua negara di dunia yang tidak diwarisi tetapi dipilih dan ditabalkan oleh Majlis Raja-Raja mengikut beberapa syarat tersurat dan tersirat.

Majlis Raja-Raja yang ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan mempunyai kuasa mutlak terhadap proses pemilihan ini bagi memastikan hanya salah seorang daripada anggotanya yang layak diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Uniknya sistem giliran kelayakan ini kerana ia bukannya satu sistem pilihan raya menerusi kempen mahupun lantikan jawatan awam.

Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja mengikut senarai giliran Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan Besar negeri paling kanan mengikut Sultan yang terdahulu ditabalkan di negeri baginda.

Senarai kelayakan itu kemudian ditapis mengikut negeri-negeri yang belum diberi peluang sehingga lengkap kitaran kepada sembilan negeri terbabit.

Namun, Sultan yang di bawah umur tidak layak untuk disenaraikan dalam kitaran giliran sementara Sultan yang terpilih juga berhak menolak pencalonannya.

Majlis Raja-Raja juga boleh menetapkan seseorang Sultan tidak layak untuk ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong atas apa jua alasan dengan undi sulit sokongan lima daripada sembilan ahlinya.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong juga hanya boleh dikosongkan selepas tamat tempoh pengal lima tahun, kemangkatan atau dipecat oleh Majlis Raja-Raja.

Seperti mana kedudukan Sultan sebagai ketua negeri dan Menteri Besar sebagai ketua kerajaan negeri, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara di peringkat Persekutuan sementara Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan.

Selaku pemegang kuasa eksekutif negara, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak berdasarkan nasihat Majlis Raja-Raja, Perdana Menteri, Menteri atau Kabinet.

Seri Paduka akan melantik anggota Kabinet dan pengarah di kementerian atas nasihat Perdana Menteri; penubuhan suruhanjaya dan jawatankuasa khas atas nasihat Majlis Raja-Raja; melantik Ketua Hakim Negara, Ketua Hakim Malaya serta Ketua Hakim Sabah dan Sarawak atas nasihat Perdana Menteri dan Majlis Raja-Raja; serta melantik Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak atas nasihat Ketua Menteri negeri berkenaan.

Namun, Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa untuk bertindak atas keputusan sendiri dalam beberapa perkara utama tanpa memerlukan persetujuan pihak lain, termasuk dalam melantik Perdana Menteri, membubarkan (atau menolak pembubaran) Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum dan memanggil persidangan Majlis Raja-Raja.

Seri Paduka turut bertindak selaku ketua agama Islam Kerajaan Persekutuan termasuk untuk empat negeri yang tiada Sultan, tiga Wilayah Persekutuan - Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta ketua agama Islam untuk negeri baginda sendiri.

Yang di-Pertuan Agong juga merupakan Ketua Angkatan Tentera Malaysia dan berkuasa melantik Ketua Angkatan Tentera serta ketua tentera bagi tiga cabang ketenteraan negara, di samping berhak memberi keampunan kesalahan selepas semua rayuan di mahkamah ditolak.

Sejarah baru negara tercatat pada 12 dan 13 Disember 2011 apabila berlangsung istiadat keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong Ke-13 dan istiadat ketibaan Seri Paduka ke-14.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang telah dipilih dan ditabal semalam selaku Yang di-Pertuan Agong ke-14 menjadi Sultan pertama diangkat selaku Seri Paduka buat kali kedua.

Baginda yang pernah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima antara 21 September 1970 hingga 20 September 1975 juga telah memegang kedudukan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Tuanku Abdul Halim juga menjadi Yang di-Pertuan Agong pertama ditabalkan di Istana Negara yang baru bernilai RM800 juta di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Yang di-Pertuan Agong Ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin pula menjadi Yang di-Pertuan Agong terakhir bersemayam di Istana Negara lama di Jalan Istana yang telah digunakan sejak negara merdeka.

Selepas 54 tahun, kesinambungan sistem pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini tidak boleh dipisahkan lagi daripada identiti Malaysia sebagai negara berdaulat.

Segala sejarah negara terus dipayungi Raja-Raja Melayu dan tanpa baginda Sultan sekalian, maka akan pincanglah negara bernama Malaysia ini.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Uniknya takhta Yang di-Pertuan Agong"

Catat Ulasan