SAYA dengan segala hormatnya merujuk kepada tajuk Ubah sistem kuota haji kiriman Noorsyazwan Nazri dari Padang Rengas, Perak yang tersiar di ruangan Forum, Utusan Malaysia pada hari Khamis 4 November 2010.
Lembaga Tabung Haji (TH) menghargai pandangan dan cadangan pengirim mengenai ubah sistem kuota haji membolehkan `jemaah berulang’ beri laluan kepada jemaah sulung ke Mekah. Pertama, perlu dijelaskan bahawa TH tidak ada merujuk mana-mana satu sistem pengurusan hajinya sebagai sistem kuota. Apa yang ada ialah Sistem Pendaftaran Haji Terbuka. Di bawah sistem ini, umat Islam Malaysia digalak merancang dan mendaftar lebih awal untuk pemergian haji mereka dan tidak hanya mendaftar pada tahun semasa atau menghampiri musim haji dengan harapan agar dapat terpilih pergi haji dalam tahun semasa.
Di bawah sistem ini, mereka yang mendaftar lebih awal mendapat peluang pergi haji lebih awal atau dengan kata lain, yang mendaftar dahulu didahulukan.
Oleh kerana keupayaan pergi haji kini dihadkan oleh kuota haji yang telah disepakati oleh semua negara OIC sejak 1987, maka jumlah pendaftaran haji juga telah disusun mengikut jumlah kuota umat Islam Malaysia iaitu 26,000 orang bagi setiap tahun berdasarkan nisbah 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara (permohonan telah dikemukakan kepada Kerajaan Arab Saudi supaya meningkatkan kuota Malaysia kepada 28,000 berdasarkan jumlah penduduk yang kini berjumlah 28 juta orang).
Kini susunan 26,000 setiap tahun telah pun siap dibuat untuk 23 tahun ke hadapan berdasarkan jumlah pendaftaran yang diterima dan berpandukan prinsip yang mendaftar dahulu didahulukan.
Berkenaan larangan pergi haji melebihi sekali, mulai tahun 2010 ini TH telah menguatkuasakan larangan mendaftar haji kepada mereka yang baru balik dari menunaikan fardu haji.
Sebagai contoh, mereka yang telah pergi haji pada tahun lepas (1430H) tidak boleh membuat pendaftaran baru kecuali selepas tempoh lima tahun. Larangan ini adalah sebagai langkah tambahan kepada panduan sedia ada iaitu tidak akan memilih mereka yang telah pergi haji dalam tempoh lima tahun (bagi mereka yang telah mendaftar sebelum 1431H).
Namun sedemikian, terdapat sejumlah kecil yang diberi kelonggaran khususnya yang berkaitan dengan keadaan-keadaan berikut:
* Kerana mengiring mahram yang terpilih pada tahun semasa;
* Kerana mengiringi warga tua yang diberi keutamaan pada tahun semasa (berdasarkan garis usia tertentu yang diputuskan untuk tahun berkenaan);
* Kerana bertugas di bawah Rombongan Haji TH dan syarikat yang dilesenkan (Pengelola Jemaah Haji).
Sekiranya mereka terpilih di bawah salah satu kategori ini, TH tidak dapat menghalang mereka mengikuti kaedah asas Muassasah oleh kerana mahram atau jemaah yang mereka iringi hanya mampu untuk mengikut kaedah asas Muassasah.
Isu untuk menggunakan asas Muassasah turut dibangkitkan dalam media massa akhir-akhir ini. Namun demikian, TH sedang menimbangkan untuk tidak memberi mereka sebarang bentuk tanggungan (sekiranya masih diberi kepada jemaah haji Muassasah untuk tahun tertentu) dan mereka perlu membayar harga penuh kos haji bagi tahun semasa.
ABDUL RASHID HUSSEIN Pengurus Besar,
Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji
0 ulasan: on "Daftar selepas 5 tahun tunai haji"
Catat Ulasan