KUALA LUMPUR 11 Nov (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada 282 penerima termasuk puteri Sultan Kedah dan dua pegawai kanan tentera asing.
Pada istiadat yang berlangsung di Istana Negara di sini hari ini, puteri Sultan Kedah, Brigadier Jeneral Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim dianugerahkan pingat Pahlawan Angkatan Tentera (PAT).
Dua pegawai kanan tentera asing iaitu Setiausaha Tetap Pertahanan di Kementerian Pertahanan Thailand, General Apichart Penkiti dikurniakan pingat Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) Kehormat, manakala Pengarah Directorat Risikan Bersama, Ibupejabat Supreme Command, Pasukan Angkatan Tentera Diraja Thai dianugerahkan Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) Kehormat.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd Zin pula dikurniakan Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) diikuti empat penerima yang dikurniakan Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) iaitu Panglima Group Artileri Pertahanan Udara, Mejar Jeneral Datuk Husin Md Tahak, Panglima Tiga Divisyen Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad, Mejar Jeneral (B) Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad dan Mejar Jeneral Datuk Ir Ibrahim Bahari dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Seramai 275 penerima lain dikurniakan pingat Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) Kehormat, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan Bentara Angkatan Tentera (BAT). — Bernama
0 ulasan: on "282 terima pingat Darjah Kepahlawanan ATM"
Catat Ulasan