Oleh SYUKRI SHAARI
|
|
TANGGAL 2 November 2010 menjadi tarikh keramat bagi Batalion 1 dan 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) apabila Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Pertukaran Panji-panji Rejimen bagi kedua-dua batalion itu.
Ia merupakan detik bersejarah bukan sahaja kepada RAMD tetapi juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana kali pertama istiadat seperti itu menggabungkan dua ketumbukan tentera.
Istiadat pertukaran itu menandakan sudah tiba masanya panji-panji lama bagi kedua-dua batalion itu disemadikan, bersama pelbagai kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh anggota pasukan tersebut dan memulakan semangat serta perjuangan baru.
Panji-panji menjadi simbol kekuatan, semangat juang, inspirasi serta kebanggaan kepada RAMD terutamanya semasa menjalankan tugas sama ada di dalam mahupun luar negara.
Acara yang penuh adat istiadat itu diadakan di Dataran Panglima Darat, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur dengan dihadiri 350 anggota Batalion 1 dan 8 RAMD bagi menjadi saksi permulaan era baru Panji-panji Rejimen bagi batalion tersebut seiring dengan perubahan persekitaran ketenteraan masa kini.
Penganugerahan panji-panji baru itu adalah sebagai tanda menghargai pengorbanan kedua-dua batalion dalam mempertahankan negara. Ia juga adalah tanda penghormatan dan kemegahan batalion RAMD.
Panji-panji Rejimen merupakan denyut nadi sesebuah batalion dan merupakan penggerak kekuatan anggotanya semasa menjalankan tugas.
Malah Tuanku Abdul Halim selaku Kolonel Yang Dipertua RAMD ketika bertitah semasa istiadat pertukaran itu menggesa anggota Batalion 1 dan 8 RAMD mempertahankan panji-panji yang diamanahkan seperti mereka mempertahankan nyawa dan negara sendiri.'
Titah baginda, panji-panji tersebut tidak boleh dibiarkan gugur ke tanah dan mesti dipastikan ia terus dikibarkan.
"Beta tidak mahu melihat panji-panji ini gugur. Beta mahu ia terus menjadi kebanggaan negara kerana ia juga merupakan simbol kekuatan negara kita,'' titah baginda.
Baginda juga mengingatkan semua anggota Batalion 1 dan 8 RAMD mencontohi semangat juang anggota-anggota terdahulu yang sanggup gugur di medan perang demi mempertahankan panji-panji mereka.
"Ingatlah ramai wira negara yang gugur semasa mempertahankan panji-panji ini kerana mereka menjaganya dengan sepenuh jiwa raga seperti menjaga keluarga dan negara sendiri.
"Beta mahu ia terus menjadi inspirasi kepada semua anggota untuk terus berjuang demi agama, negara dan bangsa,'' titah baginda.
0 ulasan: on "Panji-panji rejimen"
Catat Ulasan