Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Khamis, 11 November 2010

Nilai-nilai kemanusiaan ibadat haji

Permulaan ibadat haji telah berlangsung lebih 3,600 tahun lalu. Ketika itu, Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya, Nabi Ismail a.s. sedang membangunkan kembali Kaabah telah diperintahkan oleh Allah SWT agar mewartakan kewajipan mengerjakan haji.

Prinsip-prinsip haji yang digariskan ialah (1) mengakui Keesaan Allah SWT dan menolak sebarang tindakan yang boleh disifatkan sebagai syirik, (2) yakin akan adanya balasan Allah SWT dalam kehidupan, dan (3) yakin adanya nilai-nilai kemanusiaan yang bersifat sejagat.

Atas tiga prinsip itulah setiap kali tibanya musim haji, setiap orang Islam dikatakan mempunyai kemuncak pengabdiannya kepada Allah SWT. Setiap orang Islam akan meninggalkan segala rutin hidupnya untuk beberapa hari dengan menumpukan kekuatan fizikal dan mental untuk menyempurnakan ritual tersebut.

Berdasarkan bukti ibadat haji menumbuhkan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi dan kemuncak kehidupan, telah memperlihatkan bahawa hubungan dan Keesaan Allah SWT amat harmonis sekali. Manusia akan merasakan bahawa kehidupannya sebelum menjadi tetamu 'Rumah Allah' penuh resah dan gelisah. Setelah selesai mengerjakan ibadat haji, setiap mereka yang balik menceritakan ketenangan dan kebersihan diri yang telah mereka rasakan.

Dalam perjalanan menyempurnakan ibadat haji, setiap manusia dilihat sama dari segi fizikal kerana memakai pakaian yang sama, mengerjakan ritual yang sama dan berada dalam saf yang sama bagi mendapat keredaan Allah SWT. Meskipun secara latar belakang sosio-ekonomi, nyata setiap Muslim itu berbeza, tetapi dalam soal ibadat dalam Islam, ia tetap sama.

Kesamaan itulah yang merupakan nilai kemanusiaan yang tertinggi. Di sisi Allah SWT, kekayaan yang dimilik oleh manusia tidak dilihat sebagai faktor penentu dalam pengadilan 'tawaran ke syurga.' Apa yang menjadi kayu ukur terpenting dan paling asas sekali ketakwaan dan keimanan seseorang itu sepanjang hidupnya, termasuk tidak meninggalkan sembahyang, puasa, berbuat baik kepada semua makhluk dan menjauhkan diri dari sifat-sifat negatif.

Semasa mengerjakan haji, setiap hati seorang Muslim dipenuhi dengan rasa bangga berada di Rumah Allah kerana menyahut seruan-Nya. Ketika itu, manusia memahami secara jelas dan sedar bahawa setiap makhluk sedang diberikan perlindungan, kesejahteraan dan jaminan keselamatan oleh Allah SWT.

Para jemaah yang tidak dapat mengekalkan matlamat suci dan arah tuju tersebut telah melanggar pantang larang.

Ketika ayat 197 surah Al-Baqarah yang berbicara tentang larangan bertengkar diturunkan, sebahagian sahabat Nabi menduga bahawa larangan tersebut mencakupi larangan berniaga kerana disitu sering berlaku pertengkaran. Dugaan mereka diluruskan oleh al-Quran, firman-Nya yang bermaksud; "Tidak ada dosa bagi kamu mencari kurnia Ilahi (rezeki perniagaan pada musim haji). (Surah al-Baqarah ayat 198).

Dalam bidang politik juga demikian sehingga ada yang berpendapat bahawa haji adalah ibadah murni yang tidak sah bila dikeruhkan dengan aktiviti keduniaan, lebih-lebih lagi politik. Memang, kalau yang dimaksud untuk meraih keuntungan duniawi semata-mata, maka ia jelas dilarang. Apatah lagi ia boleh mengakibatkan terganggunya kekhusyukan beribadah.

Ketundukan manusia kepada Keesaan Allah SWT akan menajamkan lagi kesedaran nikmatnya menjadi seorang Muslim. Makna dari ritual ini menjelaskan bahawa nilai-nilai kemanusiaan dan pengalaman menikmati nilai-nilai tersebut tidak hanya terbatas dari persamaan nilai memakai pakaian yang sama, ia turut mengandungi makna yang lebih besar kepada setiap orang.

Nilai ini pula berbeza antara seseorang, dan ia ikut mempengaruhi kesan spiritual yang mendalam sehingga mampu menggelorakan minat mereka yang mendengarnya dan belum mengerjakan ibadat haji.

Menurut M Quraish Shihab, seorang pakar tafsir al-Quran, nilai-nilai kemanusiaan yang terpancar daripada ritual tersebut terlalu luhur. Ia bermula dengan kesedaran mengenai fitrah manusia sendiri dan kesediaan manusia untuk menyesuaikan diri dengan kehadirannya sebagai makhluk di muka bumi. Manusia lebih memahami jati dirinya di sisi Allah SWT. Manusia akan terus bersyukur di atas limpahan kurnia-Nya.

Berasaskan nilai-nilai kemanusiaanlah telah menyedarkan manusia mengenai arah dan tujuan setelah diciptakan oleh Allah SWT dengan selengkap dan sesempurna kejadian. Nilai-nilai kemanusiaan itu juga menjadikan manusia mempunyai nilai moral yang tinggi dan berbeza dengan lain-lain makhluk hidup di atas pentas dunia.

Manusia mempunyai moral yang tinggi dan boleh memimpin sesama sendiri, malah menundukkan makhluk yang lain. Manusia mampu menguasai binatang buas sehingga menjadikannya sebagai sumber rezeki.

Setiap manusia memerlukan interaksi, dan setiap interaksi tersebut mestilah berdasarkan prinsip ukhwah dan persaudaraan yang sejati. Dalam mengharungi proses tersebut, nilai-nilai kemanusiaan ikut memasukkan prinsip-prinsip memanusiakan orang lain.

Ini bererti, setiap kali kita melihat adanya keburukan berlaku, maka menjadi tanggungjawab kita untuk membuat pembetulan. Namun, kaedah melakukan pembetulan juga perlu dipelajari agar ia tidak menjadi konflik dan persengketaan yang boleh menyebabkan pertumpahan darah. Ritual sedemikian turut dialami oleh setiap orang Islam sepanjang tempoh mengerjakan ibadat haji, mungkin berbeza adalah situasi dan konteksnya.

Pengalaman dalam mengerjakan haji juga ialah membangkitkan nilai-nilai kemanusiaan melalui persaudaraan sesama Islam. Bukan sahaja saling membantu, malah saling memaafkan tanpa perlu menunggu saat tertentu seperti mana berlaku dalam masyarakat kita.

Sepanjang mengerjakan ibadat haji, kita saling memaafkan ketika itu juga, sebaik sahaja kita sedar adanya kesilapan telah terjadi. Sebagai bukti kaitannya ibadat haji dengan nilai-nilai kemanusiaan ialah isi khutbah Nabi Muhammad SAW ketika melaksanakan Haji Wadha' (Haji Perpisahan). Dalam khutbah tersebut, Rasulullah SAW menekankan bahawa setiap dari jemaah agar dapat menghayati nilai-nilai persamaan (berpakaian dan mengamalkan ritual yang sama), menjaga tertib dan menghormati orang lain, larangan mengkhianati orang lain, tegahan menindas mereka yang lemah (sama ada dalam bentuk fizikal ataupun emosi) dan sentiasa optimis mengenai masa depan dan kehidupan yang kekal abadi.

Demikianlah, Tuhan memberi penghargaan kepada manusia sehingga Nabi Muhammad dalam khutbah wada'nya yang sangat terkenal, mukadimah baginda dimulai suatu pertanyaan yang bermaksud; ''Wahai umat manusia, tahukah kamu di hari apa kamu berada? Di bulan apa kamu berada? Dan di tempat mana kamu berada?'' Semua menjawab, ''Ya Rasulullah, kami berada di hari suci, di bulan suci dan di tempat yang suci." Lalu Rasulullah mengatakan, ''Oleh kerana itu ketahuilah bahawa darahmu, hartamu dan kehormatanmu itu suci sampai hari kiamat, sampai kamu menemui Tuhanmu."

Kemudian baginda menghuraikan banyak hal, termasuk bagaimana perlakuan yang baik kepada buruh, kepada orang yang bekerja untuk kita. Bagaimana perlakuan yang baik terhadap isteri pada waktu itu, dengan latar belakang Arab jahiliah wanita adalah salah satu komoditi di kalangan orang Arab. Bagaimana kita harus membebaskan hamba abdi. Bagaimana kita harus melakukan transaksi ekonomi dengan menghindari penindasan yang mengakibatkan kekayaan manusia adalah sedikit dan kemiskinan menjadi besar dan seterusnya.

Ketuhanan Yang Maha Esa, kemanusiaan, dan keyakinan adanya hari akhirat adalah makna-makna paling dalam bagi setiap amalan ibadah haji. Tanpa menghayatinya, ibadah tersebut tidak memiliki banyak erti bagi jiwa manusia. Dengan ketuhanan Yang Maha Esa, Nabi Ibrahim mengumandangkan bahawa Allah adalah Tuhan sekalian alam, bukan Tuhan satu ras dan bangsa, juga bukan Tuhan yang terbatas untuk satu tempoh masa tertentu.

Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Nilai-nilai kemanusiaan ibadat haji"

Catat Ulasan