Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja berasal dari Army Service Corps (ASC) yang telah ditubuhkan dalam bulan April 1957. Berikutan dengan penubuhan Tentera Laut dan Udara Malaysia, ASC telah ditukar nama kepada Armed Forces Maintainance Corps (AFMC) pada 27 Mei 1958. Setelah AFMC dimansuhkan pada 9 April 1965, Kor ini telah dengan rasminya dinamakan Kor Jurutera Letrik dan Jentera dan bercogankata Bertukang Dan Berjuang.
Peranan Kor Jurutera Letrik dan Jentera adalah memberi bantuan teknik seperti pembaikan, penyelenggaraan dan pemeriksaan ke atas semua peralatan kepunyaan Tentera Darat kecuali kenderaan jentera berat kepunyaan Kor Jurutera Diraja seperti jentolak, treler (yang dikenali sebagai Kenderaan Jenis C) dan peralatan perhubungan Kor Semboyan Diraja seperti peralatan telegraf yang digunakan untuk menerima dan menghantar mesej. Peranan Kor JLJ juga merangkumi perkara berikut:
- Pemeriksaan. Menjalankan pemeriksaan teknik ke atas semua peralatan Tentera Darat untuk memastikan tahap kebolehgunaan dan penyelenggaraan peralatan tersebut. Pemeriksaan ini dilakukan sama ada setiap tahun, dua kali setahun atau empat kali setahun.
- Pengubahsuaian. Pengubahsuaian dilakukan kepada peralatan dan kenderaan untuk menambah baik serta menyesuaikan peralatan tersebut dengan keperluan perkhidmatan.
- Perkhidmatan Kembalik (kren). Perkhidmatan kembalik atau kren adalah perkhidmatan menarik atau menunda kenderaan atau peralatan beroda yang rosak ke woksyop yang berhampiran untuk diperbaiki. Perkhidmatan ini terbahagi kepada 3 iaitu:
- Kembalik Ringan untuk menunda kenderaan yang beratnya kurang daripada 3 tan.
- Kembalik Sederhana untuk menunda kenderaan yang beratnya melebihi 3 tan dan kurang daripada 16 tan.
- Kembalik Berat untuk menunda kenderaan yang beratnya melebihi 16 tan iaitu kereta perisai seperti Scorpion, Condor, Sibmas dan sebagainya.
- Sukatan. Kor JLJ bertanggungjawab menentukan secara terperinci segala keperluan alat ganti berdasarkan kepada pemeriksaan yang telah dijalankan dan pengalaman penggunaan peralatan tersebut.
- Pembaikan. Kor JLJ bertanggungjawab menjalankan pembaikan peralatan dan kenderaan Tentera Darat berdasarkan kerosakan dan keperluan pembaikan.
- Perkembangan Teknikal. Setiap perkembangan teknik perlu diikuti oleh Kor JLJ. Segala maklumat terkini mengenai peralatan, kenderaan, teknologi dan persenjataan akan dimaklumkan oleh Kor JLJ kepada Panglima Tentera Darat untuk mengenal pasti kesesuaian peralatan tersebut bagi kegunaan Tentera Darat.
0 ulasan: on "Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD)"
Catat Ulasan