Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kerajaan menyedari keresahan umat Islam mengenai kos mengerjakan haji yang mungkin meningkat selaras pembangunan di Makkah, khususnya di sekeliling Masjidil Haram.
“Walaupun kos mungkin naik, tetapi tidak akan sampai membebankan. Kos tahun ini tidak sampai RM10,000 selepas diberi subsidi RM3,060, dan ia masih rendah berbanding banyak negara lain,” katanya.
Jamil Khir yang ditemui di pejabat Konsul Haji Malaysia di sini sebaik tiba dari Kuala Lumpur, berkata Lembaga Tabung Haji diberi tanggungjawab meneliti kos bagi tahun depan termasuk kebajikan jemaah Malaysia.
Katanya, Tabung Haji sedang mengikuti perkembangan yang berlaku di Makkah, kerana banyak bangunan lama dirobohkan dan digantikan dengan hotel baru bertaraf empat atau lima bintang selain projek pembesaran Masjidil Haram.
Beliau berkata, perkembangan ini memberi kesan terhadap beberapa bangunan disewa Tabung Haji yang tamat tempoh kerana pemiliknya mengenakan kadar baru lebih tinggi.
Katanya, Tabung Haji meneliti pelbagai aspek seperti tempat penginapan, makanan dan pengangkutan dengan perkembangan yang berlaku kerana tidak mahu membebankan jemaah berhasrat menunaikan haji pada masa hadapan.
Sementara itu, Jamil Khir meminta jemaah haji Malaysia supaya berdoa agar gelombang kedua banjir yang diramal melanda Kedah dan Perlis bulan ini atau bulan depan tidak berlaku.
"Banjir kali pertama sudah cukup membebankan rakyat yang akan menyambut Aidiladha Rabu ini. Banyak lagi majlis kenduri akan berlangsung pada musim cuti sekolah ini,” katanya.
0 ulasan: on "Kerajaan jamin kos ke Tanah Suci tidak membebankan"
Catat Ulasan