Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Jumaat, 12 November 2010

Guru Tertekan Kawen Lewat

Soalan:

SAYA wanita yang bekerja sebagai guru dan mengajar pelajar kategori OKU. Puan, saya menjaga ayah selepas kematian ibu lima tahun lalu. Saya tidak pernah beranggapan menjaga ayah satu bebanan, namun untuk mencari lelaki yang memahami keadaan ini sememangnya sukar. Saya pernah bercinta tetapi kami berpisah kerana dia tidak mahu komitmen itu.

Usia yang menghampiri 30 tahun menyebabkan saya mula rasa tertekan, walaupun saya tahu zaman ini ramai wanita berkahwin lewat. Saya tahu jodoh itu urusan tuhan namun apabila orang lain yang mengatakan saya tidak berusaha, saya keliru kerana sebagai perempuan bagaimana usaha yang harus saya lakukan?

Puan, saya mempunyai kehidupan sosial yang baik, ramai kawan lelaki dan perempuan. Saya menjaga kehormatan diri dan penampilan dengan baik. Saya tidak mahu berprasangka buruk dengan Allah SWT dan menerima segala ketentuan-Nya. Namun, kadangkala saya rasa tertekan kerana sebagai manusia fitrah untuk dicintai dan disayangi tetap ada. Adakah saya hamba yang tidak reda dengan qada dan qadar Allah SWT dan bagaimana usaha yang saya harus lakukan?

Tun Fatimah,Melaka


Jawapan:



SALAM kesabaran buat Tun Fatimah yang kini membuat analisis diri dan masa depan. Wahai wanita yang diuji Allah SWT, jodoh pertemuan sememangnya di tangan Tuhan. Itu adalah satu pesanan yang sangat besar daripada Allah SWT kerana secara fitrahnya semua makhluk Allah ingin berkeluarga.

Malah kontrak paling awal di dunia ialah kontrak perkahwinan. Namun begitu, sebagai hamba Allah SWT yang yakin bahawa peta hidup, bukan kita yang pegang dan tentukan, kita sekadar berusaha tapi hasilnya di tangan Allah.

Oleh itu amat tidak wajar anda berasa tertekan dengan bertambahnya umur, tapi tidak tertekan apabila tidak bertambah cintanya pada Allah SWT. Tandanya anda tidak tebal cinta pada Allah SWT apabila anda disalut bimbang di hati dan gusar di jiwa, mahu memenuhi hasrat dan cita-cita untuk berkeluarga.

Cuba anda soal diri anda, siapa yang lebih tahu mengenai diri kita, masa depan kita dan penamat hidup kita? Tiada siapa yang tahu kecuali Allah Yang Esa. Sedarlah Allah SWT sangat sayang dan cinta dengan hambanya dan mana mungkin Allah SWT mahu menyulitkan hamba-Nya, mahu menyeksa hamba-Nya, yang kafir pun ada jodohnya inikan pula kita yang mukmin. Mengapa putus asa dan bimbang. Itu bukan urusan kita. Itu urusan Allah SWT sebab Allah SWT sudah menjanjikan setiap anak Adam yang lahir ke dunia ini sudah ada disediakan jodohnya, rezekinya dan hari matinya.

Jika anda meyakini pesanan Allah SWT ini, mana mungkin anda tertekan dan gelisah kerana belum ditemukan jodoh, mungkin Allah melihat situasi anda yang sedang menjaga ayah yang lanjut usia, Allah mahu anda berbakti dulu dengan jujur dan ikhlas menjaga ayah, Allah tidak mahu anda berasa beban menjaga ayah dan menjaga suami. Mungkin juga Allah SWT bimbang anda tidak mampu menjalankan dua tugas itu serentak dan Allah SWT tidak mahu anda mengabaikan ayah, andainya anda ditemukan jodohnya sekarang.

Allah SWT mahu anda benar-benar menumpukan perhatian anda pada pekerjaan dan pada ayah anda tanpa dibebani masalah suami dan rumah tangga. Atau mungkin anda belum cukup bersedia untuk menjalankan tugas sebagai isteri. Jika anda terus tertekan bermakna hubungan anda dengan Allah hanya di bibir dan di minda, belum sampai ke hati dan mungkin belum cukup cinta dengan Allah SWT lagi, tugas dengan Allah masih belum sempurna lalu ditangguhkan hajat anda dulu sehingga anda mencintai Allah SWT sepenuhnya dulu kemudian mencintai suami.

Jika anda sudah berasa lengkap dari segala segi, sepatutnya tidak ada masalah berjumpa jodoh tetapi penilaian Allah SWT belum lengkap lagi, maknanya serahkan harapan dan pergantungan hanya kepada Allah dan penuhi hati anda dengan mencintai Allah dengan sepenuh hati dulu dan melakukan segala-galanya kerana Allah, baru ditemukan jodoh oleh Allah kerana Allah tidak pernah kejam dengan hambanya dan tidak pernah menolak permohonan dan doa hamba-Nya.

Yakinlah sesungguhnya Allah itu dengan hamba-Nya lebih dekat dari urat leher kita dan perhatian Allah pada kita tidak pernah terputus walaupun sesaat. Mana mungkin anda berasa tidak selesa dengan ketentuan-Nya. Sesungguhnya Allah sayang kita 10 kali ganda lebih daripada sayang ibu pada kita. Namun jika kita tidak menyemai sayang pada-Nya kita tidak akan berasa cintanya Allah pada kita. Nasihat saya, tidak ada jalan lain selain bersabar, kerana kesabaran itu lebih memberikan kedamaian daripada kesedihan dan ketabahan lebih memberikan hal-hal yang positif daripada negatif.

Malah kebiasaan melihat sesuatu dari sisi baik dan positif itu berharga daripada mendapatkan penghasilan jutaan ringgit setahun. Selain itu Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Perbanyak mengucapkan Ya dzal jalali wal ikram" iaitu nama Allah teragung. Sudah dijanjikan Allah sesiapa yang berzikir dengan nama itu dan meyakini keagungan Allah, maka Allah akan kabulkan permohonannya dan memberikan jalan keluar daripada semua masalah dan kemenangan dan kebahagiaan.

Ini janji Allah SWT dalam al-Quran surah Al-Anfal:9 yang bermaksud: "(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Rabb-mu. Lalu diperkenan-Nya bagimu." Dalam ayat yang lain, Allah SWT meyakinkan hamba-Nya yang bermaksud: "Hai yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah SWT nescaya Dia akan menolong dan mengukuhkan kedudukanmu (QS. Muhammad :7).


Kesimpulannya,
yakinlah bahawa sesiapa yang taat kepada Allah SWT, maka Tuhan akan mencintainya seperti yang ditegaskan dalam QS: Ali-Imran:31 yang bermaksud: "Maka ikutlah aku nescaya Allah akan mencintai kamu." Oleh itu cari dan buru cinta Allah SWT dulu sebelum cinta manusia.
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Guru Tertekan Kawen Lewat"

Catat Ulasan