PULAU PINANG 27 Feb. - Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) menggesa golongan bumiputera di negara ini bangkit memperjuangkan ekonomi mereka supaya tidak terus ketinggalan.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, ketidakseimbangan pencapaian ekonomi antara kaum yang berlaku ketika ini perlu diubah bagi memastikan nasib bumiputera pada masa depan lebih terjamin.
Menurutnya, bagi mencapai tujuan itu, generasi muda terutama mahasiswa perlu berusaha mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mendalam serta asas kukuh yang berkait rapat dengan ekonomi.
"Ketika ini 67 peratus rakyat Malaysia adalah bumiputera tetapi kita hanya menguasai 19 peratus ekonomi negara. Ia berbeza dengan kaum Cina yang hanya 23 peratus komposisi tetapi menguasai 46 peratus ekonomi Malaysia.
"Di sinilah perjuangan yang perlu kita lakukan dan peranan ini perlu dipikul oleh penuntut-penuntut kita. Mereka perlu menjadi ejen perubahan yang boleh mengubah ekonomi bumiputera ke satu tahap lebih hebat dan mampu bersaing dengan kaum lain dalam bidang ekonomi," katanya.
Beliau menyampaikan ucaptama Program Konsolidasi Patriotisme Ekonomi Bumiputera di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, semalam yang dirasmikan Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman.
Rahim berkata, ketidakseimbangan dalam pencapaian ekonomi itu harus diubah segera bagi memastikan bumiputera terus berdaya saing dan maju.
"Apa yang berlaku sekarang ini umpama seorang yang badan besar tetapi kekuatannya sangat kecil. Sesuatu perlu dilakukan kerana kita tidak patut menjadi minoriti ekonomi sedangkan kita golongan majoriti.
"Untuk itu minda, cara berfikir, sikap dan paradigma kita perlu diubah. Kita perlu berani meneroka bidang perniagaan terutama sektor swasta," katanya.
Sementara itu, Rahim berkata, pencapaian 22 peratus pegangan ekuiti bumiputera menunjukkan usaha yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berhasil dan mencapai matlamat.
"Itu merupakan kejayaan yang amat besar dan ia patut dibanggakan kerana pendekatan yang digunakan Perdana Menteri telah membuahkan hasil," katanya.
Bagaimanapun, katanya, pencapaian itu masih jauh berbanding sasaran kerajaan iaitu sebanyak 30 peratus sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan 40 tahun lalu
0 ulasan: on "Bumiputera perlu bangkit kuasai ekonomi"
Catat Ulasan