“KALAU dah bodoh tu, bodoh juga. Tak guna ko belajar tinggi-tinggi” kata seorang pegawai KTM Komuter kepada saya di Stesen Komuter Nilai semasa menunggu komuter yang dijangka tiba pada 9.48 malam 20 Februari 2011 di platform untuk menghala ke UKM.
Gara-gara terlelap, saya sampai ke stesen Batang Benar tetapi hanya tersedar bahawa saya telah terlajak beberapa stesen apabila saya tiba di Nilai kerana destinasi saya adalah UKM.
Saya turun, menggunakan jejantas ke platform utama yang menghala ke Rawang untuk menunggu ketibaan komuter seterusnya. Tidak lama kemudian, seorang pegawai KTM berbangsa Melayu bermisai lebat datang untuk memeriksa tiket komuter daripada semua orang yang menunggu di platform tersebut. Saya menyatakan bahawa saya menggunakan Touch n Go. Beliau meminta kad tersebut, menyentuh pada mesin keluar dan menyentuh masuk sebelum memulangkan kad tersebut semula kepada saya.
Saya mempersoal tindakan beliau yang tanpa persetujuan saya telah melakukan yang sedemikian. Namun saya terkejut, marah dan kecewa apabila beliau menjawab soalan saya dengan herdikan, cacian dan ugutan. Antara cacian yang beliau lontarkan berbunyi "kalau dah bodoh tu, bodoh juga. Tak guna belajar tinggi-tinggi", "ini adalah stesen kereta api, saya adalah pegawainya. Setiap hari saya memeriksa beribu-ribu penumpang, bukan kamu seorang. Kalau bodoh tu bodoh juga" dan sebagainya. Saya berasa sangat marah tetapi menenangkan diri dengan beristighfar dan seorang anggota polis yang berada di stesen terbabit membawa saya pergi untuk duduk menunggu ketibaan komuter.
Saya bertambah kecewa apabila walaupun saya telah duduk, pegawai KTM Komuter terbabit masih terus mengherdik saya dengan kata-kata seperti di atas. Malah beliau mengugut untuk menulis surat kepada universiti supaya saya dibuang dengan alasan sikap saya yang melawan beliau membuat tugas. Harga budi bahasa bukannya semurah RM4.70 atau RM2.10 seperti harga tiket KL Sentral ke Nilai dan Nilai ke UKM. Harga budi bahasa lebih mahal daripada itu.
INSAN KECEWA
0 ulasan: on "Pegawai KTM Kurang Ajar"
Catat Ulasan