KEPALA BATAS 27 Feb. - Tindakan Hindraf yang sengaja mencetuskan sentimen kebencian terhadap kerajaan dengan berdemontrasi ketika ura-ura pilihan raya umum semakin hampir menunjukkan pertubuhan haram itu tidak ikhlas untuk membantu masyarakat India di negara ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebaliknya berkata, tindak - tanduk Hindraf itu hanyalah helah untuk mencapai agenda politik demi kepentingan pihak tertentu.
Beliau berkata, tindakan Hindraf yang gemar berkonfrontasi dan menimbulkan kekecohan bukan sesuatu yang baru kerana pendekatan itu juga digunakan ketika era pentadbirannya dahulu.
''Seperti masa saya (Perdana Menteri) dulu, jadi begitulah. Mereka (Hindraf) nak pecahkan undi dengan menarik orang India supaya tidak sokong kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi minta sokong pembangkang.
''Apa yang mereka lakukan ini mempunyai macam-macam agenda, banyak helahnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan jentera serta input pertanian kepada golongan petani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Penaga, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Hilmi Abdul Rashid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.
Abdullah diminta mengulas tindakan Hindraf mengatur perhimpunan besar-besaran di beberapa lokasi strategik ibu negara bagi mendesak pengharaman novel Interlok.
Menjawab soalan kenapa Hindraf hanya timbul ketika ura-ura pilihan raya umum semakin hampir, Abdullah berkata, senario tersebut bukan sesuatu yang menghairankan kerana ia adalah masa yang sesuai untuk pertubuhan haram itu mendapatkan keuntungan politik.
Bagaimanapun, di sebalik bantahan Hindraf, beliau percaya, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sudah melakukan apa yang terbaik untuk membantu masyarakat India di negara ini.
''Saya ingat kerajaan pun sudah faham dengan tindakan (Hindraf) ini yang tidak mendatangkan kebaikan. Kerajaan pun sudah banyak lakukan apa yang sepatutnya untuk (bantu) masyarakat India," jelasnya.
0 ulasan: on "Hindraf tidak ikhlas bantu orang India - Pak Lah"
Catat Ulasan