SEREMBAN: Penderitaan dialami seorang bekas tentera yang menghidap penyakit kencing manis dan jantung sejak dua tahun lalu mendapat simpati Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Sembilan yang menghulurkan bantuan, baru-baru ini.
Badariah Ismail, 55, dari Taman Bandar Seremban Selatan Senawang, dekat sini, yang belum mendirikan rumah tangga dan bersara sejak lebih 10 tahun lalu menempuh saat sukar apabila dikesan menghidap penyakit berkenaan.
Pegawai Tadbir PBTM negeri, Idris Ismail berkata, Badariah seorang ahli PBTM dan pihaknya mendapat maklumat mengenai tahap kesihatannya pada Disember lalu sebelum dipanjangkan kepada pihak atasan.
Menurutnya, selepas mengenal pasti keperluan diperlukan bagi meringankan beban Badariah, PBTM negeri menyalurkan bantuan dalam bentuk membina tandas duduk, tongkat berpalang dan alat mengukur tahap kencing manis yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM1,000.
“Kami berharap menerusi bantuan yang diberikan ini akan dapat membantu bukan saja meringankan bebannya malah bagi pengurusan kehidupan hariannya terutama berkaitan pergerakan di dalam rumah.
“PBTM sentiasa memberikan perhatian terhadap masalah membabitkan kepentingan ahli dan bekas tentera dan setiap bantuan akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan itu yang disempurnakan Pegawai Institut Pegawai Kanan Tentera Darat (Inspeka) Port Dickson, Mejar Nasaruddin Abd Rahim.
Sementara itu, Badariah berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada PBTM yang prihatin dengan keadaan kesihatan dihadapinya.
0 ulasan: on "Bekas tentera dapat simpati PBTM"
Catat Ulasan