Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Khamis, 26 Ogos 2010

Indonesia Diminta Pastikan Keselamatan Rakyat Malaysia Di Negara Itu

PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Indonesia diminta memastikan
keselamatan rakyat Malaysia di republik itu serta mengambil tindakan
terhadap kumpulan yang melempar najis manusia ke dalam kawasan
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, bukan sahaja nama baik
Malaysia malah reputasi Indonesia turut tercemar akibat perbuatan
sebegitu keji oleh segolongan rakyat negara itu baru-baru ini.

"Saya juga telah meminta kerajaan Indonesia memastikan keselamatan
rakyat Malaysia di Indonesia dipelihara, demi menjaga hubungan baik
kedua-dua negara yang amat kita hargai," katanya kepada pemberita
selepas bertemu Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia, Tatang B Razak di
Wisma Putra bagi mendapat penjelasan berkaitan perkara itu.

Beliau berkata tindakan berunsur provokasi seperti membakar dan
memijak bendera Malaysia serta membaling najis, adalah satu penghinaan
kepada Malaysia, malah perbuatan itu mencabar kedaulatan negara.

Beberapa pihak di Indonesia telah mengadakan demonstrasi sebagai tanda
kemarahan terhadap Malaysia yang didakwa telah merendahkan maruah
Indonesia dalam insiden penahanan tiga pegawai penguatkuasa
Kementerian Kelautan dan Perikanan negara tersebut oleh Polis Marin
Malaysia di perairan Bintan pada 13 Ogos lalu.

Ditanya sama ada Malaysia akan bertindak balas sekiranya demonstrasi
berterusan, Anifah berkata rakyat negara ini sudah banyak bersabar
walaupun kedaulatan negara diancam.

"Kita masih memelihara hubungan yang begitu baik, dan kita juga
berpendapat bahawa ini dilakukan oleh segolongan kecil orang tertentu.
Oleh itu Malaysia telahpun bersabar dan tidak akan ambil tindakan
buruk sebegitu." "Tetapi sejauh mana rakyat Malaysia boleh bersabar,
itu satu yang hendak kita tangani. Salah satunya, kita minta sekiranya
berdemonstrasi, buatlah secara aman, berhemah dan jangan cuba
menimbulkan kemarahan dan menghina rakyat kita," katanya.

Ketika ditanya sama ada insiden itu akan menjejaskan rundingan dua
hala Malaysia-Indonesia, Anifah berkata beliau dan rakan sejawatannya
Dr Marty Natalegawa telah bersetuju supaya keadaan tersebut ditangani
dengan rasional.

"Saya telah menjelaskan kepada Kabinet sebab berlakunya insiden 16
Ogos (demonstrasi), saya belum memanggil Duta Indonesia untuk
menjelaskannya kerana saya berhubung terus dengan rakan sejawatan di
Indonesia." "Menteri Luar Indonesia telah meminta agar saya bersetuju
untuk tidak emosi dalam menangani perkara ini. Kita mesti melihatnya
secara objektif berdasarkan hubungan baik kedua-dua negara sebelum
ini," katanya.

"Mereka mempunyai masalah politik dalaman tetapi kita tidak mahu
Malaysia menjadi mangsa. Perkara ini telah saya sampaikan kepada rakan
sejawatan tetapi beliau meminta kita memahami keadaan dan membantu
mereka agar keadaan tidak menjadi bertambah buruk."

"Ini bukan bermakna kita mengalah. Dalam perhubungan antarabangsa
seperti ini, kita mesti bertolak ansur. Kita boleh berbuat demikian
tetapi kita juga mesti melindungi integriti rakyat negara ini. Kita
sudah sampai ke suatu tahap yang melampaui paras kesabaran," katanya.

Anifah juga berkata Dr Marty akan datang ke Malaysia pada 6 Sept depan
untuk bertemu dengannya bagi membincangkan isu demonstrasi tersebut.

"Mereka juga menunjukkan keseriusan kerana parlimen mereka sedang
bersidang. Duta mereka ke Malaysia telah dipanggil pulang. Kerajaan
Indonesia amat bimbang dengan reaksi kita. Itu sebab mereka meminta
kita fahami keadaan. Saya telah memberitahu mereka bahawa kita tidak
boleh bersabar lagi," katanya.

Anifah berkata tindakan kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia
(Bendera) yang mengugut untuk mengusir rakyat Malaysia juga
menimbulkan kemarahan dan keresahan rakyat negara ini yang berada di
republik itu.

Dalam pertemuan itu, Anifah turut melahirkan rasa kesal dan mengecam
sekeras-kerasnya tindakan sesetengah pihak di Indonesia yang dilihat
sengaja mahu merosakkan hubungan dua hala antara pemimpin dan rakyat
kedua-dua negara.

Beliau juga meminta supaya Kedutaan dan Konsulat Jeneral Malaysia di
republik itu diberi jagaan sewajarnya selain pihak yang berdemonstrasi
dihalang daripada membaling sebarang objek.

Katanya, walaupun pihak berkuasa Indonesia telah menangkap mereka yang
melempar najis ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia, namun
dibebaskan setelah siasatan dijalankan.

"Walau bagaimanapun, kita akan mendapat ulasan dari pihak Indonesia,
dan yang penting, mereka yang menghina dengan memijak dan membakar
bendera perlu diambil tindakan secepat mungkin bagi meredakan rakyat
Malaysia yang begitu marah dengan gelagat segolongan kecil rakyat
Indonesia itu," katanya.

Beliau juga berkata nasihat perjalanan ke Indonesia akan dikeluarkan
sekiranya perlu.

"Kami akan memantau keadaan (di sana). Buat masa ini, berdasarkan apa
yang berlaku sejak kebelakangan ini (di Indonesia), saya menasihatkan
rakyat Malaysia agar tidak ke Indonesia sekiranya tidak ada perkara
penting yang perlu diselesaikan dengan segera," katanya.

"Namun sehingga hari ini, kita belum mengeluarkan nasihat perjalanan
secara rasmi," katanya.

Mengulas kenyataan Tatang yang mendakwa kemarahan rakyat Indonesia
berpunca daripada tindakan pihak berkuasa Malaysia menanggalkan
pakaian seragam serta menggari tiga anggota pihak berkuasa Indonesia,
Anifah berkata ia bukan punca sebenar demonstrasi itu berlaku.

"Saya tidak fikir itu punca sebenarnya kerana demonstrasi itu telah
bermula sebelum mereka mendapat maklumat."

"Mereka anggap kita tidak terlalu cerdik untuk menilai. Bila seseorang
atau sesetengah pihak mahu melakukan sesuatu perkara, mereka selalunya
mempunyai alasan tersendiri sama ada rasional atau tidak," katanya.

-- BERNAMA


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Indonesia Diminta Pastikan Keselamatan Rakyat Malaysia Di Negara Itu"

Catat Ulasan