KUALA LUMPUR 25 Ogos - Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) hari ini melahirkan rasa kesal dengan sikap sebilangan rakyat Indonesia yang mengadakan demonstrasi di Kedutaan Malaysia di Jakarta.
Pengerusinya, Datuk Ahmad A. Talib berkata, kejadian seperti itu tidak sepatutnya berulang kerana sebelum ini telah berlaku peristiwa yang sama dalam tempoh begitu singkat.
''Bagaimanapun Iswami mengucapkan terima kasih kepada pihak polis Indonesia yang berjaya mengawal keadaan supaya tidak menjadi lebih buruk lagi,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Ahmad berkata, tindakan penunjuk perasaan termasuk mencampakkan najis ke kawasan Kedutaan Malaysia kelmarin, merupakan satu perbuatan yang tidak diduga dan tambahan pula ia berlaku pada bulan Ramadan yang mulia.
''Bagaimanapun, Iswami percaya tindakan itu sebenarnya langsung tidak mencerminkan tata susila dan budi bahasa rakyat Indonesia secara keseluruhan,'' katanya.
Tambah beliau, Iswami tidak mahu melihat keakraban dua negara jiran ini menjadi keruh akibat perbuatan segelintir rakyat Indonesia yang mengambil tindakan yang boleh menjejaskan imej dan maruah sebuah negara yang bakal menyambut kemerdekaan ke-53 nanti.
0 ulasan: on "Iswami kesal tindakan serbu kedutaan"
Catat Ulasan