TITIPAN nukilan saya buat pertama kali, ingin berkongsi pandangan dan idea bersama para pembaca. Dengan rasa rendah diri, bicara saya dimulakan dengan kupasan idea yang berasaskan konflik perkauman di Malaysia yang semakin membimbangkan.
Sudah tiba masa dan ketikanya kita bersatu hati, idea, epistemologi untuk mencari titik penamat kepada isu yang semakin membelenggu masyarakat majmuk negara kita.
Sejarah mengajar kita menjadi lebih matang dan bukannya mendidik kita supaya menggunakan sejarah untuk mencipta kemusnahan terhadap negara. Mengapa sejarah perjuangan sudah dilupakan? Atau sengaja dilupakan?
Atau memang benar kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Melayu sememangnya mudah lupa? Adakah faktor perkauman menjadi penentu kepada sikap lupa dalam negara Malaysia? Pernyataan ini tidak adil dan keras kerana orang Melayu bukan sengaja lupa dengan latar belakang mereka dan sejarah kehidupan mereka sehingga menjadikan mereka seperti mereka pada hari ini.
Perbincangan tentang Malaysia sukar untuk dibezakan daripada faktor perkauman dan inilah yang menjadi semakin kritikal.
Lihat sahaja beberapa peristiwa yang berlaku di seluruh negara dan kebanyakan daripada isu yang dibangkitkan berasaskan kepada sentimen perkauman yang menjadi semakin sensitif sejak kebelakangan ini.
Tidak cukup dengan isu hak bumiputera, hak pemilikan, tempat beribadat, isu azan, isu kuil, lesen atau permit hiburan dan jual arak dan lain-lain sudah menjadi topik hangat diperkatakan dan menjadi tarikan kepada masyarakat pada masa kini.
Ternyata kebebasan bersuara yang diberikan kepada setiap warganegara Malaysia dimanfaatkan sepenuhnya oleh segelintir pihak yang bijak menggunakan hujah mereka dalam mempertikaikan isu-isu sensitif bagi membuka mata semua pihak. Tahniah diucapkan kepada mereka yang bijak menggunakan peluang yang ada dan sangat oportunis dalam pemilihan isu yang telah diketengahkan.
Sekurang-kurangnya ada juga pihak yang dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang isu-isu yang sensitif sehingga menyedarkan masyarakat bahawa isu ini bukan setakat isu tetapi merupakan masalah besar dalam negara kita dan perlu dibendung sebelum terlambat.
Pada tahap ini, masyarakat Malaysia semakin tenggelam atau terpesona dengan nilai-nilai universalisme seperti hak sama rata, kesamarataan hak, kebebasan bersuara, hak asasi dan urus tadbir yang baik sehingga semua ini dijadikan topeng atau umpan untuk sebenarnya menonjolkan isu perkauman.
Kemunculan generasi muda yang lebih berpendidikan, kemudahan alternatif media, demokratisasi dunia, sistem globalisasi ini telah mendorong kepada kebangkitan dan perjuangan hak kaum bukan Melayu semakin ketara.
Sejarah telah membuktikan bahawa sistem politik perkauman sangat dominan dalam budaya politik Malaysia walaupun sistem demokrasi permuafakatan lebih sinonim dengan kerajaan Malaysia tetapi semuanya tetap berorientasikan kaum.
Kedaulatan raja-raja Melayu yang dicabar (kes di Perak) sehingga dialog tentang isu tempat ibadat (kes di Selangor) menjadi perbualan hangat di kalangan masyarakat Malaysia. Baru-baru ini pula Chua Soi Lek membangkitkan tentang isu kuota bumiputera. Timbul persoalan persahabatan MCA dengan UMNO dalam kerajaan BN sudah tiada muafakat lagi? Mengapa perkara sebegini dibiarkan berterusan?
Gagalkah pakatan murni yang dicapai suatu ketika dulu atau gagalkah masyarakat Malaysia memahami pakatan murni yang dicapai antara semua kaum dulu? Atau sekali lagi saya tekankan adakah sengaja dilupakan?
Perpaduan sangat penting dalam konteks pada hari ini. Saya bukan cuba hendak mengetengahkan pendekatan yang plastik atau bersifat kosmetik tetapi permuafakatan yang terjalin antara UMNO, MCA dan MIC sangat penting dalam memberi pendedahan yang positif kepada pelapis muda dalam kepimpinan politik negara Malaysia. Jangan dikelirukan mereka lagi dengan unsur-unsur yang boleh mencerminkan kelemahan sistem pemerintahan demokrasi negara kita dan jangan dicemar kesucian demokrasi itu dalam konteks negara Islam.
Justeru apakah hanya sebuah kaum sahaja mesti berkorban kerana kebangkitan nilai-nilai sejagat baru ini semata-mata mahu mengakomodasikan permintaan dan desakan kaum-kaum yang lain? Apakah kontrak yang diterima dahulu semudahnya dihapuskan? Sudah tentu tidak sepatutnya kalau dahulu kontrak bersetuju memberi kewarganegaraan diterima dengan syarat hak istimewa Melayu, bahasa dan raja harus dipelihara dengan sebaik-baik mungkin.
Pemberian hak kewarganegaraan kepada masyarakat bukan Melayu, kebebasan beragama dan sebagainya adalah suatu hakikat yang kalau dahulu amalan social bargaining ini diaplikasi antara satu sama lain untuk mencapai persetujuan maka perlu ada toleransi di kalangan masyarakat Malaysia.
Perbincangan ini nampak seperti retorik dengan lahirnya pula Gagasan 1Malaysia, mana mungkin boleh tercapai. Tanpa usaha dan sokongan semua pihak yang berpegang kepada asas sejarah dan Perlembagaan negara, matlamat untuk mencapai kesepaduan di kalangan masyarakat Malaysia boleh dicapai tetapi memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.
Sehubungan itu, kewarganegaraan yang ditawarkan kepada masyarakat bukan Melayu pada sebelum kemerdekaan dicapai telah diterima atas pelbagai faktor tetapi setelah kehidupan semakin berubah dengan kondisi yang lebih baik, sikap kita tidak seharusnya turut berubah. Lantas apa saja rundingan yang mereka terima adalah semata-mata kerana mereka mahu sama-sama menikmati keistimewaan dan kemewahan yang ada di Tanah Melayu tidak seharusnya dilupakan.
Sememangnya sudah menjadi sifat semula jadi orang Melayu sangat berpegang kepada adat dan agama Islam yang sentiasa memuliakan tetamunya sama sekali tidak pernah menafikan kehadiran dan hak kaum bukan Melayu di tempat mereka. Begitulah hakikat kehidupan masyarakat Melayu yang mengamalkan dasar harmoni kepelbagaian kaum sejajar dengan konsep 1Malaysia sejak dari era kemerdekaan hinggalah kini.
Dulu kontrak sosial menjadi ideologi perjuangan kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk menjalankan pemerintahan. Isu hak istimewa dan peribumi sentiasa di bibir. Kini zaman sudah berubah dan ideologi yang sama tidak lagi mengena. Masyarakat sudah mula terpesona dengan ideologi baru manakala pemimpin bukan BN pula berideologikan ketelusan, keseimbangan dan akauntabiliti bagi meraih sokongan daripada masyarakat.
Ternyata situasi ini tidak ubah seperti filem "Anakku Sazali" yang dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee suatu ketika dahulu yang cuba menyampaikan mesej yang sangat mendalam bagaimana seseorang itu tidak semestinya akan terus berpegang kepada janji yang telah dibuatnya. Malah, hidup ini sarat dengan kepentingan dan kepentingan inilah yang selalunya tidak selari dengan kehendak seseorang itu.
Kerana kepentingan juga musuh yang hebat boleh menjadi rakan yang sepakat. Oleh kerana kepentingan kaum inilah, perubahan turut berlaku. Kalau dahulu wujud sikap toleransi, integrasi, akomodasi yang menjadi inti tetapi kini desakan dan tuntutan pula menjadi lebih dominan dalam memperjuangkan sesuatu kepentingan itu.
Bagaimana pula pada masa kini? Tiada lagikah toleransi di kalangan masyarakat Malaysia sehingga terpaksa mencabar antara satu sama lain. Isu-isu perkauman dan ideologi agama bercampur dengan perbezaan ideologi politik dijadikan senjata untuk menghangatkan lagi masalah yang sedia ada.
Diharapkan melalui konsep 1Malaysia ini rakyat Malaysia berupaya memahami dan menyokong konsep ini bukan atas dasar kepentingan politik tetapi demi keharmonian rumah tangga Malaysia serta tidak berorientasikan kepentingan kaum semata-mata. Oleh itu, haruskah dibiarkan masalah perkauman ini menjadi serius atau adakah masalah ini sengaja dicanang oleh media supaya kelihatan sangat serius perlu juga diambil kira.
Jawapan ini hanya dapat dijawab oleh semua lapisan masyarakat dengan fikiran yang matang bagi melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang mempunyai satu semangat patriotisme.
Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad ialah Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi/Panel Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL), Universiti Malaya.
0 ulasan: on "Hadir generasi baru, berlalu kontrak dulu"
Catat Ulasan