|
|
PUTRAJAYA 25 Ogos – Wisma Putra hari ini memanggil pegawai Kedutaan Besar Indonesia bagi memberi penjelasan berhubung tindakan sekumpulan rakyat negara itu melemparkan najis manusia dan memijak Jalur Gemilang ketika berdemonstrasi di depan kedutaan Malaysia di Jakarta, Isnin lalu.
Berikutan itu, kedutaan tersebut yang diwakili Timbalan Dutanya, Tatang B. Razak telah menemui Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di Wisma Putra hari ini.
Ketika ini, Duta Besar Indonesia, Tan Sri Da’i Bachtiar berada di Jakarta setelah dipanggil pulang bagi memberi penjelasan mengenai isu demonstrasi tersebut yang kini dibincangkan dalam sidang Parlimen republik itu.
Dalam pada itu, Anifah berkata, dalam pertemuan dengan Tatang, Malaysia melahirkan rasa kesal dan mengecam sekeras-kerasnya perbuatan tersebut yang dianggap satu penghinaan kepada seluruh rakyat dan mencabar kedaulatan negara.
Katanya, tindakan sesetengah pihak di republik itu sengaja ingin merosakkan perhubungan dua hala yang begitu baik para pemimpin dan rakyat kedua-dua negara secara keseluruhannya.
“Apa yang dilakukan itu tidak mencerminkan budaya, kesopanan dan tatasusila.
“Demonstrasi yang turut diadakan di depan Konsulat Malaysia di Medan dan Pekan Baru telah mengguris hati dan perasaan rakyat Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan dengan Tatang.
Isnin lalu, demonstrasi yang disertai anggota Benteng Demokrasi Rakyat Malaysia (Bendera) bagi membantah penahanan tiga anggota penguat kuasa Indonesia oleh Pasukan Gerakan Marin Malaysia yang diadakan di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menjadi kecoh.
Ini berlaku apabila segelintir penunjuk perasaan melemparkan najis manusia ke dalam bangunan kedutaan Malaysia selain memijak Jalur Gemilang.
Beberapa hari sebelum itu, demonstrasi juga diadakan oleh kumpulan dari Lumbung Informasi Rakyat (LIRA) dan Laskar Merah Putih (LMP).
LMP bertindak merosakkan plak nama kedutaan itu selain peserta memanjat pintu pagar dan bumbung pondok pengawal keselamatan di itu.
Perbuatan kumpulan LSM itu memaksa Kedutaan Besar Malaysia menghantar nota protes kepada Kementerian Luar Negeri Indonesia dan Polis Republik Indonesia kerana pihak polis gagal melindungi harta benda kedutaan itu daripada dirosakkan, selaras dengan perlindungan yang dinyatakan di bawah Konvensyen Vienna.
Menurut Anifah, tindakan kumpulan Bendera yang membuat ugutan mengusir rakyat Malaysia menimbulkan rasa kemarahan dan keresahan rakyat negara ini di republik itu.
Justeru, beliau menggesa republik tersebut mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan tindakan mengancam rakyat negara ini.
“Tindakan itu bukan sahaja mencemarkan nama baik Malaysia malah mencemar nama baik Indonesia hasil perbuatan yang begitu keji oleh segelintir golongan,” katanya.
Dalam pada itu Anifah berkata, Kuala Lumpur juga telah meminta Jakarta agar dapat memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di republik itu demi memelihara hubungan dua hala.
“Saya telah berhubung dengan Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa untuk memastikan demonstrasi menghina rakyat negara ini dihentikan.
“Setakat laporan yang diterima daripada kedutaan Malaysia di Jakarta, tiada sebarang demonstrasi diadakan sehingga tengah hari ini,” katanya.
0 ulasan: on "Kedutaan Indonesia dipanggil"
Catat Ulasan