JAKARTA, 25 Ogos (Bernama) -- Setelah melempar najis manusia ke dalam
kawasan Kedutaan Besar Malaysia di sini Isnin lalu, kumpulan penunjuk
perasaan yang sama mengugut untuk berbuat demikian di kediaman Duta
Besar Malaysia pula.
Kali ini, penunjuk perasaan dari kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat
(Bendera) itu dilaporkan akan disertai kumpulan gabungannya yang
menamakan diri sebagai Pemuda Pemudi Anti Malaysia.
Sementara itu, 25 penunjuk perasaan Bendera merancang berdemonstrasi
di hadapan Bank CIMB Niaga petang ini dan mengulangi aksi sama di
pejabat Petronas kemudian.
Polis Indonesia yang mendapat maklumat mengenai rancangan demonstrasi
haram di hadapan kediaman Duta Besar Malaysia di Patra Kuningan,
bertindak mengetatkan kawalan dengan menempatkan lebih 200 anggota di
sekeliling rumah tersebut sejak 9.30 pagi Rabu.
Sejak malam Selasa, Polis Indonesia telah menempatkan anggotanya bagi
menjaga keselamatan di kawasan kediaman Duta Besar Malaysia itu.
Pada masa yang sama, Polis Indonesia turut menempatkan ramai
anggotanya di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, sebagai
persediaan menghadapi kumpulan sama, yang dilaporkan turut merancang
mengadakan sekali lagi demonstrasi di situ.
Kedutaan Besar Malaysia menghargai langkah yang diambil Polis
Indonesia dalam menjaga keselamatan di kawasan kediaman Duta Besar dan
bangunan kedutaan.
Setakat 3.30 petang waktu Indonesia Barat, demonstrasi di hadapan
kediaman Duta Besar Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia belum
diadakan.
Isnin lepas, 37 anggota Bendera berdemonstrasi di hadapan bangunan
kedutaan berkenaan dan membawa lima bungkus najis manusia sebagai
"hadiah" kepada Malaysia, yang didakwa telah mencemarkan maruah
Indonesia dengan cara lebih kotor daripada itu.
Seorang daripada mereka sempat melempar bungkusan najis ke dalam pintu
pagar Kedutaan Besar Malaysia manakala yang lain bertindak melepaskan
kotoran itu ke atas Jalur Gemilang yang mereka pijak di atas jalan
raya.
Mereka melepaskan kemarahan terhadap Malaysia berikutan insiden di
perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau pada 13
Ogos yang menyaksikan bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan
Perikanan Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia, sementara Polis
Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian
Indonesia itu.
Kedua-dua pihak mendakwa melakukan penahanan itu kerana pencerobohan
dalam wilayah masing-masing.
Ekoran kejadian lempar najis itu, polis Indonesia menahan empat
anggota Bendera, tetapi membebaskan mereka beberapa jam kemudian atas
alasan mereka belum melakukan perbuatan berkenaan.
Seorang pegawai di Kedutaan Besar Malaysia yang dihubungi pada hari
berkenaan, telah mengesahkan bahawa najis yang dibungkus dalam kertas
pembalut makanan berwarna coklat itu, telah dilempar masuk ke kawasan
kedutaan.
Pada hari yang sama, sebelum bersurai, kumpulan Bendera telah memberi
kata dua kepada polis Indonesia supaya melepaskan anggota mereka yang
ditahan, atau mereka akan bertindak mengusir rakyat Malaysia, yang
dinamakan sebagai "Sweeping Rakyat Malaysia".
Polis Indonesia turut mendapat maklumat mengenai rancangan kumpulan
Bendera untuk mengusir rakyat Malaysia yang berada di Jakarta hari
ini, dan wartawan Malaysia telah dinasihatkan agar tidak menghampiri
kumpulan penunjuk perasaan itu bagi mengelakkan tindakan "sweeping"
dilakukan.
Berikutan itu, semua pelajar Malaysia di Jakarta dinasihatkan supaya
tidak melalui kawasan Jalan Diponegoro, Menteng, Jakarta bagi mengelak
tindakan "sweeping" oleh anggota Bendera.
Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu
Bakar juga menasihatkan pelajar supaya keluar rumah secara
berkumpulan, dan segera menghubungi beliau atau pemimpin pelajar jika
diancam mana-mana pihak.
"Saya minta seluruh mahasiswa Malaysia agar menghindari dan menjauhi
kawasan Menteng, khususnya Jln Diponegoro.
"Kawasan tersebut telah dikenal pasti antara kawasan yang akan
dilakukan sweeping rakyat Malaysia oleh kumpulan Bendera," katanya.
-- BERNAMA
0 ulasan: on "Kediaman Duta Besar Malaysia Di Jakarta Pula Diancam"
Catat Ulasan