Oleh: Mat Zain Mat Isa
Bagaikan bermusim, kes-kes pembuangan bayi kembali menjadi sajian harian di dada media. Pelbagai pihak yang prihatin tentang penyakit sosial yang semakin kronik itu seolah buntu dan mati akal memikirkan kaedah menanganinya.
Penubuhan pusat bayi terbuang bagaikan tidak memberikan apa-apa kesan mengurangkan gejala itu. Sebaliknya, semakin kerap rayuan mendayu-dayu para artis kita diulangsiar lewat media elektronik, semakin menjadi-jadi pula kes penemuan bayi terbuang.
Keputusan Kabinet minggu lalu agar kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh juga tidak cukup menggerunkan pelakunya. Buktinya, di luar sana saban hari ada bayi dibuang. Ada dicampak ke dalam longkang atau tong sampah, disumbat dalam pembetung atau mangkuk tandas.
Ada dijumpai terapung di sungai, dibungkus dalam beg plastik dan disangkut di pagar, ditinggal di atas rumput, dihurung semut dan diratah nyamuk. Malah ada yang ditemui sisa sahaja dipercayai telah dibaham anjing.
Mengikut fakta terkini dilaporkan media, sepanjang lima tahun ini 472 kes pembuangan bayi direkodkan. Sebahagian besar bayi ditemui itu sudah mati. Anggaplah jumlah yang tidak ditemui jauh lebih besar. Ada yang mungkin sudah ditanam, dibakar atau hancur dimamah faktor alam.
Tahun ini saja, setakat minggu lalu sudah tercatat 65 kes pembuangan bayi. Ia peningkatan ketara berbanding 79 kes sepanjang setahun lalu. Kita masih ada lebih empat bulan berbaki. Tidak mustahil jumlah tahun ini mampu mencecah 100 kes.
Terbukti setakat ini apa jua kaedah penyelesaian dicuba gagal membendung peningkatan gejala ini. Sebagai penganut Islam, mengapa tidak kita akui bahawa unsur yang ‘hilang’ (the missing elemen) dalam merangka kaedah penyelesaian kes buang bayi ini ialah ajaran Islam itu sendiri.
Masalah utama kita dengan pelaksanan Islam ialah apabila penganut agama ini sendiri cuak dan ragu dengan keupayaan Islam menyelesaikan masalah masyarakat. Keraguan itu mungkin timbul ekoran kelemahan dan kesilapan manusia yang sebelum ini melaksana atau mencuba formula Islam, tetapi gagal. Ia juga mungkin satu strategi terancang musuh Islam membentengi masyarakat daripada menaruh keyakinan terhadap kaedah penyelesaian dianjurkan agama suci ini.
Negara kita tidak kurang pakar dalam pelbagai bidang, termasuk pakar sosiologi, psikologi dan segala macam ilmu berkaitan kecenderungan manusia. Kita juga ada ilmuan Islam yang mampu menggarap lautan sumber hukum dan merumuskan pendekatan Islam ke atas setiap permasalahan. Kepakaran mereka boleh digabung-jalin bagi mencari formula terbaik.
Setakat ini langkah-langkah dikemukakan pelbagai pihak lebih ke arah merawat atau membasmi gejala membuang bayi, bukannya mencegah puncanya. Sedangkan masalah sebenar ialah punca yang membawa kepada kewujudan anak yang tidak diingini itu.
Secara rasional kita boleh bersetuju bahawa 100 peratus bayi yang menjadi mangsa pembuangan ialah yang dilahirkan tanpa nikah. Maka secara logiknya pembuangan bayi boleh dibanteras dengan mencegah kehamilan luar nikah.
Bagi umat Islam, langkah utama pencegahan itu ialah dengan kembali kepada kehidupan beragama. Islam bukan sahaja mengharamkan perbuatan zina (seks luar nikah), malah melarang umatnya menghampiri zina. Ini menunjukkan bahawa sebarang perkara yang boleh menjurus kepada menghampiri zina mestilah dijauhi atau ditiadakan.
Di antara perbuatan menghampiri zina ialah pergaulan bebas. Di antara medan paling subur untuk pergaulan bebas dan seks luar nikah ialah konsert dan pusat hiburan.
Selagi ada hiburan tanpa batasan, akan ada pergaulan bebas yang selalunya diiringi penyalahgunaan dadah dan berakhir dengan seks bebas. Gejala itu bakal menyumbang kepada meningkatnya kes kelahiran anak luar nikah.
Jika diteliti fakta anak luar nikah didedahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) awal tahun ini, jumlah 17,303 untuk setahun lalu bersamaan kira-kira 48 kes sehari. Itu bermakna kes kelahiran anak luar nikah di negara kita sepanjang tahun lalu secara purata berlaku setiap 30 minit.
Akuilah bahawa membendung perkara ini memerlukan komitmen semua pihak, terutama pihak berkuasa. Ia tidak mampu dibuat menerusi gigi dan lidah sahaja, tetapi memerlukan tindakan tangan yang menggenggam kuasa.
Hanya dengan kuasa pemerintahan dapat diperbetulkan kepincangan masyarakat. Antaranya, meminda undang-undang yang menganggap melakukan hubungan seks haram dengan kerelaan kedua-dua pihak bukanlah suatu jenayah.
Sudah lebih 50 tahun rakyat memberi peluang kepada Umno mengurus negara. Gejala sosial dan masalah merosakkan akidah umat Islam nampaknya bukan sahaja tidak dapat diatasi, malah semakin meruncing.
Fahaman memisahkan agama dengan politik dianuti parti itu menyebabkan pemimpin negara tidak berfikir sebagai orang beragama. Sebaliknya mereka menjadi penganjur acara hiburan dan pergaulan bebas. Mereka juga mempertahankan undang-undang yang tidak kondusif terhadap pencegahan maksiat dan hubungan terlarang.
Rakyat sepatutnya berhenti dari terus berharap Umno tampil dengan kaedah penyelesaian yang hakiki. Sudah sampai masanya rakyat memberi peluang kepada pihak lain pula, terutama pihak yang ikhlas mengemukakan Islam sebagai kaedah penyelesaian permasalahan masyarakat
0 ulasan: on "Berilah peluang Islam tangani penyakit masyarakat"
Catat Ulasan